Macam mana saya mau join agaseh nie?…pls reply tq

Mei 22, 2009 at 11:43 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi jutaan terima kasih kerana Tuan Agus Bin Klemen amat prihatin dengan perkembangan blog Persatuan Agasean ini. Saya mengakui apa yang Tuan katakan adalah benar dan kejayaan ini adalah milik semua.Saya lebih banyak menerbitkan Ulasan YB. Tuan Haji Salleh Haji Kalbi ahli Parlimen P188 Silam kerana YB Silam terlalu banyak menyumbang artikel dalam blog ini. Saya sebenarnya memerlukan Kajian,ILmu,dan Kepakaran Tuan dalam merobah 1Transformasi blog https://alumniagaseh.wordpress.com. Saya berharap rakyat dikawasan Kunak,Lahad Datu dan Tungku yang memiliki pengetahuan bolehlah bantu blog ini demi kegemilangan Persatuan Agasean yang telah pun ditubuhkan.

Kepada Tuan yang amat berminat dengan Persatuan ini adalah disambut baik dan dialu-alukan untuk menyertai persatuan ini.Sementara waktu ini pengurusan bagi pendaftaran ahli  boleh berhubungan dengan ahli Jawatankuasa Persatuan Agasean atau berhubung dengan Pejabat Parlimen p188 silam bagi memudahkan urusan.

Terima kasih

 

Penganalisis SilamGemilang

Komen baru bagi kiriman anda #30 “MESYUARAT KHAS PERSATUAN AGASEAN:SMK AGASEH”
Pengarang : AGUS BIN KLEMEN (IP: 61.4.106.10 , 61.4.106.10)
E-mel : klemen_agus@yahoo.com
URL    :
Whois  : http://ws.arin.net/cgi-bin/whois.pl?queryinput=61.4.106.10
Komen:
actually, ini kejayaaan semua bukan kejayaan Tuan Hj.Salleh seorang, penulis blog seperti mempromote tuan Hj.Salleh, kejayaan Agaseh kejayaan semua, dan anda kena tahu bahawa Parlimen Silan terlalu jauh untuk mengecapi kejayaan seperti yang anda war-warkan, pembangunan di Parlimen silam perlu di dahulukan. Peminmpin silih berganti, tetapi Parlimen silam masih seperti dulu jugak kalau ada pembangunan itu pun terlalu lambat dam memihak kepada pihak tertentu sahaja.
Walaubagaimanapun saya berbangga kerana ada orang yang bergelar Yang Berkhidmat dapat berkhidmat untuk Agaseh, dan harapan saya agar semua ini bukanlah wayang sahaja. Berdiri untuk agama, bangsa dan negara selaras dengan satu Malaysia dan satu Agaseh, satu Silam dan Satu Lahad Datu….Dari ku perantau setia,……..Kuala Lumpur,2009

 

Pengarang : AGUS BIN KLEMEN (IP: 61.4.106.10 , 61.4.106.10)
E-mel : klemen_agus@yahoo.com
URL    :
Whois  : http://ws.arin.net/cgi-bin/whois.pl?queryinput=61.4.106.10
Komen:
Macam mana saya mau join agaseh nie?…pls reply tq

Sultan Kedah Mahu Guru Lakukan Anjakan Paradigma ALOR SETAR,

Mei 21, 2009 at 7:08 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

 21 Mei (Bernama) — Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah mahu golongan pendidik melakukan anjakan paradigma daripada segi pemikiran dan kerja, sekali gus mengangkat martabat profesion perguruan sejajar dengan perkembangan semasa. Baginda bertitah semua pendidik perlu berhemah, mempunyai jati diri dan berpegang teguh kepada ajaran agama agar mampu melahirkan insan yang hebat serta setia kepada bangsa dan negara selaras dengan tema sambutan hari guru pada tahun ini iaitu “Guru pembina negara bangsa”. “Semua pihak meletakkan harapan yang tinggi kepada guru untuk membina bangsa yang mampu mengisi kepimpinan negara pada masa depan, oleh itu pendidik perlulah sentiasa menambah ilmu pengetahuan, peka serta ikhlas dalam setiap tugas yang diberikan,” titah baginda pada pelancaran perayaan Hari Guru peringkat negeri Kedah di sini, Khamis. Sultan Kedah turut meminta para guru dan pemimpin agar bekerjasama dalam memikul tanggungjawab merealisasikan konsep ‘negara bangsa’, iaitu sebuah negara yang rakyatnya kukuh jati diri, patriotik, teguh nilai-nilai agama dan moral, demokratik serta bertoleransi. Baginda mahu guru yang disandarkan dengan seribu harapan agar menjalankan tugas dengan penuh keazaman, kejujuran, iltizam dan berjiwa perkasa untuk terus menggalas amanah serta harapan yang dipertanggungjawabkan. — BERNAMA

Sambutan Hari Guru ke-54

Mei 19, 2009 at 4:39 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

copy dari Blog Khairy
 
khairy

Sempena Hari Guru yang ke-54 pada hari ini, wajarlah kita merenung sejenak jasa lebih 300 ribu orang guru yang dipertanggungjawab untuk mendidik anak muda kita. Peranan golongan ini teramat besar dalam menentukan masa hadapan Malaysia; selain menyampaikan ilmu, merekalah yang menjadi antara ejen pembentukan sifat individu muda ibarat tangan yang mencorakkan kain putih.

Mengimbas sejarah, golongan pendidik ini jugalah yang mengetuai perjuangan kemerdekaan di peringkat akar umbi. Dengan status mereka yang dipandang tinggi oleh masyarakat, para guru pada waktu itu dapat meyakinkan bangsa tentang hak mereka ke atas tanah bertuah ini, sekaligus menggerakkan gelombang menuntut kemerdekaan dari peringkat bawah sampailah ke atas. Malah, pemimpin ulung negara seperti Tun
Ghafar Baba pernah menjadi Setiausaha Persatuan Guru sewaktu negara kita masih di tangan penjajah.

Namun, realiti hari ini menampakkan profesion guru tidak dimuliakan dan rata-ratanya, kerjaya tersebut tidak lagi dilihat sebagai suatu pilihan utama. Demi kepentingan negara, adalah amat perlu supaya pihak Kerajaan berusaha memartabatkan profesion perguruan supaya dapat menarik kembali minat graduan yang terbaik untuk menjadi guru.

Justeru, langkah Kementerian Pelajaran dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010) untuk menaikkan gaji dan elaun guru serta meningkatkan mutu latihan guru amat berkesesuaian dan perlu dipertingkat lagi.

Dalam pada kita mengejar kemajuan dan pembangunan fizikal pada alaf ke-21 ini, jangan kita lupa jasa dan peranan golongan mulia ini. Tanpa pengorbanan mereka, tidak mungkin Malaysia mampu menikmati kemajuan pesat selama ini, inikan pula melangkau jauh ke hadapan.

Selamat Hari Guru

Guru mahu fokus tugas hakiki, keselamatan sekolah terjamin

Mei 18, 2009 at 4:16 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my
SETIAP kali sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan diadakan pasti ada ‘buah tangan’ diumumkan kerajaan sebagai tanda penghargaan terhadap golongan pendidik yang banyak mengorbankan masa dan tenaga serta wang ringgit demi menjalankan amanah mendidik anak bangsa.

Mengulas ‘hadiah’ diharapkan sempena sambutan tahun ini, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata dua isu utama memerlukan penyelesaian segera Kementerian Pelajaran, iaitu beban tugas guru serta tahap keselamatan di sekolah.

Beliau berkata, sebagai badan mewakili lebih 145,000 tenaga pengajar seluruh negara, kesatuan itu menerima banyak aduan guru yang berasa tertekan kerana dibebani tugas tidak berkaitan pengajaran dan pembelajaran (P&P) terutama perkeranian hingga tugas hakiki mereka iaitu mendidik pelajar terjejas.

 

Turut menjadi harapan guru, katanya, adalah langkah sewajarnya perlu dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan tahap keselamatan di sekolah bagi memastikan ia kekal sebagai tempat selamat bagi proses P&P.

“Harapan NUTP sempena Hari Guru tahun ini ialah guru diberi lebih masa mendidik pelajar dengan memberi ruang secukupnya bagi mereka menjalankan P&P, bukan dibebankan dengan tugas lain seperti perkeranian.

“Peningkatan kes kemalangan di sekolah akibat kelemahan struktur binaan seperti tembok runtuh dan parit tidak bertutup juga menuntut perhatian kementerian supaya tahap keselamatannya dapat dipastikan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Loke berkata, berdasarkan perkembangan ekonomi semasa, dua tuntutan itu dijadikan keutamaan persatuan dengan mengambil kira kemampuan kerajaan, namun ia tidak bermakna isu dan tuntutan lain tidak terus diperjuangkan.

“NUTP berharap golongan pendidik bersabar jika tidak semua permintaan mereka dipenuhi dalam masa terdekat kerana kita perlu mengambil kira kemampuan kerajaan untuk memberikannya.

“Isu seperti guru naik pangkat tetapi gaji berkurang, kelonggaran bagi guru senior untuk naik pangkat serta pengiktirafan terhadap guru yang mempunyai kelayakan sarjana dan ijazah doktor falsafah tetap kami perjuangkan secara berterusan walaupun ia mengambil masa hingga 10 tahun untuk dilunaskan,” katanya.

Sesuai dengan tema Hari Guru tahun ini, katanya, golongan pendidik perlu terus memberi fokus mengutamakan amanah mendidik anak bangsa sekalipun diibaratkan sebagai lilin membakar diri demi menerangi kehidupan orang lain.

Sementara itu, beberapa guru dihubungi Berita Harian berharap kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya bagi membebaskan mereka daripada tekanan dan belenggu beban tugas tidak berkaitan P&P sebagai salah satu insentif sempena Hari Guru tahun ini.

Guru Penolong Kanan Tadbir & Kurikulum, Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Setapak, Narizah Mohd Daud, 48, berkata saranan mewujudkan jawatan Pembantu Khas bagi mengatasi masalah itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan guru terus menjadi mangsa keadaan.

Eliah Jaffar, 39, yang kini bertugas di SK Bandar Tun Hussein Onn, pula berkata antara punca masalah disiplin pelajar semakin berleluasa ketika ini kerana guru kurang masa untuk berdamping dengan pelajar akibat beban tugas.

Bekas guru besar, Mohd Joni Dollah, 59, pula menyifatkan perkhidmatan guru kini terpesong daripada tugas utama mendidik anak bangsa kerana terpaksa memikul tanggungjawab lain yang tidak sewajar mereka lakukan.

“Beban tugas yang tidak munasabah inilah menimbulkan pelbagai masalah dan tekanan kepada guru. Isu ini perlu mendapat perhatian serius kerajaan supaya usaha menjana modal insan dari peringkat sekolah tidak terjejas,” katanya.

Tahniah Kepada pssmirza@gmail.com

Mei 18, 2009 at 2:01 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Tahniah kepada semua yang berusaha, semoga sekolah ini akan terus melahirkan generasi yang berilmu dan berwawasan dari pada saya bekas pelajar sekolah ini 1978-1982. gl.

Daripada : pssmirza@gmail.com

 

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pelawat pssmirza@gmail.com yang mengunjungi blog persatuan agasean ini. Saya berharap akan lebih ramai lagi yang tampil untuk mengunjungi blog ini terutama kepada yang pernah bersekolah di SMK Agaseh bagi melestarikan Persatuan Agasean sebagai wadah pembangunan medan pendidikan bukan sahaja di sekolah ini malahan di negeri Sabah dan negara. Sila khabarkan kepada rakan-rakan anda yang belum mengunjungi blog ini supaya dapat melayari,kerana kita hendak kumpul semula pelajar-pelajar SMK Agaseh dibawah payung Persatuan Agasean.Anda boleh hantar gambar atau ucapan ke emil : karismasilam@gmail.com . Segala maklumat yang anda kirim saya akan paparkan di laman utama blog ini.

 

Penganalisis SilamGemilang

KKTM, IKM raih pingat dan anugerah Platinum Pertandingan MySkills 2009

Mei 15, 2009 at 12:18 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Oleh Khairina Yasin

MARA menerusi GiatMara Malaysia, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Institut Kemahiran Mara (IKM) menggondol tiga pingat emas, tujuh perak, empat gangsa serta Anugerah Platinum pada Pertandingan MySkills 2009 anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, baru-baru ini.

Anugerah Platinum diraih tenaga pengajar Giatmara Ipoh Timur, Mohamad Sharifuddin Ibrahim menerusi kategori Electrical Installation yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Perhimpunan Hari Pekerja 2009 di Stadium Bukit Jalil.

Pingat emas pula diterima Noor Laila Ahmad dari GiatMara Serdang, Alias Abdullah (GiatMara Setiu) dan Masran Morsidi (GiatMara Seratok), masing-masing bagi kategori Ladies Dressmaking, Wall and Floor Tiling dan Bricklaying.

 

Penerima pingat perak ialah Purnomo Md Khalid (GiatMara Segamat), Shireenazura Abdullah (GiatMara Ampang Jaya), Samsul Bahari Zakaria (GiatMara Jeli),

Seterusnya, Shamsiah Samat (GiatMara Batang Sadong), Mohd Faizal Halim (GiatMara Kuala Kangsar), Mohamad Bakri Ismail (IKM Kuching) dan Abdul Wahid Kamarudin (IKM Lumut).

Tiga gangsa pula disandang Siti Noraliza Mohd Darus (GiatMara Cheras), Normaizatulhuda Ismail (IKM Lumut) dan Mohd Suhaimi Mohamed Shamsudin (IKM Kuching).

Pertandingan MySkills diadakan bagi mengiktiraf keupayaan dan potensi tenaga pengajar pusat latihan kemahiran selaras matlamat melahirkan pengajar bertaraf dunia.

Selain itu, ia memberi peluang tenaga pengajar mempamerkan kemahiran terbaik masing-masing dan mendapat pengiktirafan sewajarnya seiring objektif melahirkan pengajar berkualiti, berdaya saing, mempunyai budaya kerja cemerlang serta mutu kerja bertaraf antarabangsa.

Iran iktiraf program pembelajaran di Unisel

Mei 15, 2009 at 12:17 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
UNIVERSITI Industri Selangor (Unisel) dijangka menerima pertambahan pelajar dari Iran selepas negara itu mengiktiraf program ditawarkan universiti berkenaan.

Jaminan itu diberi Pengarah Hal Ehwal Pelajar Iran bagi Rantau Pasifik Selatan, Dr Vahid Alli menerusi penyerahan surat pengiktirafan kepada Naib Canselor Unisel, Datuk Dr Rosti Saruwono, di Shah Alam, baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali.

 

Vahid, berkata setakat ini 22 institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia diiktiraf kerajaan Iran sebagai pilihan pelajarnya melanjutkan pengajian peringkat ijazah dan pascaijazah.

“Kami juga mengiktiraf semua 87 program yang ditawarkan Unisel dan pelajar kami mempunyai pilihan memilih kursus ditawarkan universiti itu.

“Saya mempelawa Unisel ke Iran bagi mengadakan kerjasama dengan beberapa universiti, selain pertukaran tenaga akademik, pelajar dan penyelidikan sempena promosi pendidikan negaranya pada Jun atau Julai depan.

“Iran kini menggalakkan rakyatnya menuntut ilmu tanpa mengira tempat dan negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Malaysia.” katanya.

Dalam ucapannya, Rosti, berkata beliau mengalu-alukan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan Iran serta berharap kerjasama itu akan mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Beliau berkata, Unisel akan meningkatkan kegiatan promosi ke Iran serta menjalin kerjasama dengan beberapa IPT di sana dalam usaha mengukuhkan hubungan yang memberi manfaat warga Unisel.

Kampus: Magic LUCT

Mei 15, 2009 at 12:15 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
Sistem pendidikan Malaysia mampu penuhi keperluan global

MAGIC diilhamkan Presiden Limkokwing University Creative Technology (LUCT), Prof Emeritus Tan Sri Lim Kok Wing memberi gambaran mengenai pengalaman pelajar daripada lebih 150 negara mengenai sistem pendidikan ditawarkan di Malaysia yang berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan pasaran global.

Buku tulisan anak perempuan beliau, Tiffanne Marie Lim itu turut menzahirkan pandangan serta pengalaman pertama lebih 100 pelajar antarabangsa LUCT yang berada di semua kampus cawangannya mengenai pentingnya pendidikan berkualiti dalam melahirkan graduan yang memiliki nilai pasaran tinggi.

 

Pengalaman itu memberi dorongan serta motivasi generasi muda supaya tekun menelaah pelajaran, selain menyuntik semangat pelajar sekolah memilih program sesuai dengan minat dan kelayakan.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Filem Digital dan Televisyen, Mark Alejandro, berkata dia kagum dengan kemudahan ditawarkan kerana teknologi disediakan membolehkannya mengikuti program dengan sempurna.

Dia yang berasal dari Norway, berkata pendedahan industri ditawarkan menerusi latihan amali memberikannya peluang mendalami pengetahuan sebaik mungkin, selain diberi kebebasan mengembangkan kreativiti.

Kaedah pengajaran berkesan dilengkapi teknologi canggih memberi peluang pelajar menghasilkan yang terbaik, sekali gus menyediakan graduan keperluan asas sebelum memasuki dunia pekerjaan.

“Pengalaman serta perkongsian dengan rakan daripada negara luar menambah pengetahuan, selain berkongsi pendapat dalam meningkatkan kefahaman mengenai budaya masing-masing,” katanya.

Magic diterbitkan berdasarkan perkongsian pengalaman antara Tiffanne dan pelajarnya itu adalah antara usaha memotivasikan generasi muda menimba pengetahuan, selain mengembangkannya dalam pelbagai saluran untuk dikongsi bersama.

Produk dan perkhidmatan berkualiti ditawarkan serta disokong promosi berterusan membantu meningkatkan pencapaian, selain memberi keyakinan kepada umum mengenai pentingnya pendidikan yang menjadi pemangkin kepada kesejahteraan.

Bagi Carmen Wesh, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pentadbiran, berkata pengalaman belajar di LUCT begitu berharga. Perkongsian maklumat dengan pelajar antarabangsa memberinya peluang mendalami struktur pengurusan sesebuah organisasi.

Malah dia yang berasal dari Jerman, berkata kekayaan seni dan budaya masyarakat setempat memberi peluang kepadanya belajar dan mendalami budaya masyarakat penduduk tempatan.

“Saya memilih LUCT kerana yakin kualiti ditawarkan bertaraf dunia dengan kemudahan pembelajaran canggih, selain memberi peluang mempelajari ilmu pengurusan perniagaan.

“Suasana pembelajaran yang kondusif serta kos sara hidup sederhana tidak membebankan, selain persekitaran globalnya membolehkan dia belajar banyak perkara daripada pelajar pelbagai negara seperti Afrika Selatan, Asia Barat, China, India dan Indonesia,” katanya.

Respons: Kenang jasa dan pengorbanan guru sepanjang hayat

Mei 15, 2009 at 3:21 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Oleh Zainor Said

HARI Guru yang bakal disambut esok, sekali lagi mengingatkan kita akan besarnya jasa serta pengorbanan insan yang bergelar pendidik.

Hari Guru bukan saja harus diraikan warga pendidik, malah semua pihak terutama golongan pelajar, mereka yang sudah meninggalkan alam persekolahan serta ibu bapa harus sama-sama menghayatinya, walaupun ia adalah hari yang istimewa khusus buat golongan guru.

Bagi pelajar yang masih bersekolah, guru boleh disifatkan sebagai ibu bapa kedua kerana mereka bukan saja mendidik pelajar untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah turut memupuk nilai murni rohani dan jasmani, kasih sayang, akhlak mulia serta menghindari segala keburukan agar menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara seperti yang diimpikan setiap ibu bapa.

 

Sebab itulah pelajar harus menghormati guru dan patuh kepada segala tunjuk ajar dan nasihat guru seperti mana mereka mentaati ibu bapa, selagi ia tidak bertentangan dengan jalan kebaikan. Jarang berlaku dalam sejarah peradaban manusia, guru menyuruh anak didiknya melakukan sesuatu yang bertentangan, walaupun guru terpaksa menghukum pelajarnya sendiri, tetapi ia adalah semata-mata demi kebaikan.

Bagi mereka yang sudah meninggalkan alam persekolahan, jasa bekas guru tidak harus dilupa kerana hasil daripada didikan gurulah telah meletakkan diri mereka pada kedudukan di mana mereka berada sekarang. Kejayaan mereka adalah kerana hasil didikan guru dan jika mereka gagal sekalipun, adalah kerana salah diri sendiri yang tidak mengikut nasihat guru.

Setiap insan tentunya mahu mengecapi kesenangan dalam kehidupan. Kegagalan akan membuatkan kita insaf dan menyesal kerana tidak memberi tumpuan kepada pelajaran serta mengikuti pesanan guru sewaktu berada di bangku sekolah suatu ketika dahulu.

Pada hari ini, segala kenangan sewaktu berada di sekolah akan kembali bermain di fikiran ramai insan dan menimbulkan kesedaran serta keinsafan betapa besarnya peranan guru.

Bagi ibu bapa pula, rasa hormat kepada guru harus sentiasa ditanam dalam jiwa mereka agar ia menjadi contoh dan ikutan anak masing-masing agar tidak bersikap biadap terhadap guru. Setiap ibu bapa yang tahu menghormati dan menghargai jasa guru, tidak mungkin menyemai sifat benci terhadap guru dalam jiwa anak-anak, tidak kira apa bangsa sekali pun.

Jika mereka sanggup menyerahkan amanah mendidik anak mereka kepada guru, tiada sebab ibu bapa curiga dengan keikhlasan guru dalam melaksanakan tanggungjawab. Tidak ada guru yang mahu melihat anak didiknya gagal, sebaliknya merekalah orang paling bangga dan gembira apabila anak didik mereka berjaya .

Setiap kali Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei diraikan, pelbagai acara diadakan termasuk perayaan di peringkat kebangsaan dengan menampilkan pelbagai anugerah sebagai tanda menghargai dan mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru.

Di peringkat sekolah pula, pelajar serta ibu bapa tidak melepas peluang untuk menyatakan penghargaan dengan memberikan cenderamata kepada guru kesayangan mereka. Apa yang penting bukanlah nilai hadiah yang diberikan, tetapi ia menjadi tanda ingatan dan simbolik penghargaan pelajar terhadap jasa guru yang mengajar mereka selama ini.

Amalan itu merupakan nilai murni yang harus dipupuk, ditanam dan disuburkan dalam jiwa setiap pelajar sejak kecil. Jika ia terus menjadi amalan, kita yakin perasaan kasih terhadap guru mereka akan terus subur sehingga mereka meninggalkan alam persekolahan.

Sikap memuja dan mengagungkan golongan tertentu secara berlebihan sehingga menyebabkan mereka lupa terhadap golongan yang lebih banyak berjasa dalam mendidik sehingga lahir sebagai insan kamil dan berjaya tidak harus menjadi budaya. Guru sebenarnya tidak mengharapkan sebarang ihsan atau balasan daripada anak didik mereka. Apa yang akan membanggakan mereka dan rasa dihargai adalah kejayaan anak didik dalam pelajaran dan keluar menjadi manusia berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Guru biasanya tidak mudah lupa dengan bekas pelajarnya yang berjaya walaupun setelah beberapa tahun meninggalkan alam persekolahan, sebaliknya pelajarlah yang sering lupa terhadap jasa dan pengorbanan mereka.

Tanyalah pada diri sendiri, masihkah ingat kepada guru yang pernah mengajar kita suatu ketika dahulu. Adakah masih bertemu dan menziarahi mereka (jika masih ada) apabila pulang ke kampung halaman atau mendoakan kesejahteraan mereka seperti kita mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa kita.

Selamat Hari Guru kepada semua guru terutama yang pernah mengajar saya suatu ketika dahulu di Sekolah Kebangsaan Seri Tasek, Sekolah Menengah Simpang Ampat dan Bukit Mertajam High School.

Jutaan terima kasih juga kepada semua guru yang pernah dan masih mendidik anak-anak saya di Sekolah Kebangsaan St Mary dan Sekolah Menengah Kebangsaan St Mary.

Tidak lupa juga kepada semua guru yang terbabit dalam program pendidikan anjuran Unit Pendidikan, Berita Harian, khususnya menerusi program Klinik UPSR, Seminar PMR dan Seminar SPM. Sekalung penghargaan kepada semua guru yang terbabit.

2,500 warga pendidik meriahkan sambutan Hari Guru

Mei 6, 2009 at 12:20 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
TERENGGANU akan menjadi tuan rumah Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-38 yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 16 Mei ini.

Pengerusi Pengelola Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009, Zulkifly Mohd Wazir, berkata majlis dijadualkan berlangsung di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu dan acara terbabit dinantikan warga pendidik kerana tahun ini adalah sambutan kali pertama bersama Perdana Menteri dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kira-kira 2,500 tetamu membabitkan wakil pelbagai peringkat seluruh negara akan hadir memeriahkan majlis pelancaran bertema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

 

Selain itu, katanya, sambutan bermula 13 Mei itu akan diadakan di dua tempat berasingan iaitu pameran inovatif dan kaedah pembelajaran di Terengganu Trade Centre, manakala kegiatan lain di TTI.

“Berbeza sambutan sebelum ini, pameran diadakan di lokasi berlainan kerana memikirkan tempatnya strategik bagi memasyarakatkan ilmu kepada pengunjung.

“Acara lain dirancang termasuk pertandingan bahas (13 hingga 15 Mei), Majlis Makan Malam serta penyampaian anugerah yang akan diadakan di kediaman Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Zulkifly yang juga Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, berkata anugerah disampaikan Muhyiddin sempena Majlis Makan Malam pada 15 Mei, manakala tiga lagi oleh Najib, keesokan harinya.

“Sambutan kali ini dijangka lebih meriah kerana warga pendidik pastinya mahu mendengar idea baru yang akan disampaikan Perdana Menteri dan timbalannya yang juga Menteri Pelajaran,” katanya.

Laman Berikutnya »

Blog di WordPress.com.
Entries dan komen feeds.