Kekurangan, pencapaian pendidikan negara dinilai

Mei 6, 2009 at 11:44 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

 

Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my

MUHYIDDIN bersalam dengan warga Kementerian Pelajaran selepas menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya, semalam.

Kerajaan guna khidmat pakar untuk perbaiki kelemahan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mendapatkan khidmat pakar dalam dan luar negara bagi menilai dan mengkaji tahap pencapaian sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kajian dan penilaian itu bagi menentukan sama ada sistem pendidikan negara sudah menuju matlamat sebenar atau masih ada kekurangan yang perlu diatasi.

 

“Kita tidak boleh kompromi terhadap kualiti pendidikan demi anak kita dan masa depan negara. Kita nak lihat sejauh mana kita sudah berjaya dan langkah tambahan untuk membangunkan negara.

“Sejauh mana tahap pendidikan kita setakat ini. Jika ada kelemahan, kita akan kenal pasti sama ada dari segi keupayaan tenaga pengajar, pentadbir dan pelajar. Kualiti pendidikan dalam aspek pengajaran, pembelajaran, kokurikulum dan kemudahan akan kita tekankan supaya dapat mencapai sasaran kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat sulung sebagai Menteri Pelajaran sempena perhimpunan bulanan kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkarnain Awang; dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Ditanya sama ada Kementerian akan mewujudkan sukatan pelajaran berkaitan Konsep Satu Malaysia, beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat berbuat demikian kerana sukatan dan pendekatan sedia ada sudah memberi penekanan mengenai kegiatan sosial di sekolah termasuk sukan dan riadah selain pengajaran formal.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah mengumumkan Jawatankuasa Khas Kabinet pembangunan sumber manusia. Skop jawatankuasa khas ini akan dirangka Ketua Setiausaha Negara yang memberi tumpuan kepada keperluan meningkatkan mutu pendidikan,” katanya.

Sebarang perubahan dalam kajian semula kandungan buku teks Sejarah hanya boleh dibuat berdasarkan fakta dan kebenaran kerana sejarah tidak boleh diubah sesuka hati, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong sebelum ini yang mencadangkan buku sejarah sekolah dikaji semula oleh jawatankuasa dianggotai pakar semua kaum bagi memastikan kandungannya tidak menyinggung perasaan sama ada orang Melayu, Cina atau India serta salah faham.

Azizulhasni lanjut pendidikan ke Universiti Deakin, Melbourne

Mei 5, 2009 at 7:56 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

PUTRAJAYA – Kemasyhuran, gelaran Asia, pingat perak Kejohanan Trek Dunia dan ganjaran ribuan ringgit daripada pelbagai pihak sudah diperoleh tetapi selagi dada belum berisi dengan pelajaran yang tinggi, Azizulhasni Awang masih berasa dirinya belum lengkap.

Malah menyedari kepentingan ilmu akademik sebagai penjamin masa depan, jaguh berbasikal kelahiran Dungun, Terengganu ini bertekad untuk mendapatkan segulung ijazah Sarjana Pengurusan Sukan di Universiti Deakin, Melbourne, Australia dalam tempoh empat tahun dari sekarang.

Tanpa sesekali melupakan sesi latihan dan penyertaan kejohanan di bawah Program Jalan Ke London 2012 demi emas sulung Olimpik Malaysia, pelumba cilik ini akan memulakan pengajian awal Jun depan.

“Saya memohon memasuki universiti itu menurut saluran biasa seperti orang lain selain galakan jurulatih negara, John Beasley ketika Kejohanan Dunia di Pruzskow, Poland lagi dan dua hari selepas itu, saya menerima surat tawarannya,” katanya.

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah

Mei 5, 2009 at 7:30 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah
Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:
Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
kita ingat 10 % apayang dibaca
kita ingat 20% apa yang didengar
kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
kita ingat 70% apa yang dicakapkan
kita ingat 90% setelah dipraktikkan
Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah)….Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya….
Belajar dalam persekitaran kondusif.
pastikan cahaya adalah terang
kurangkan gangguan bunyi
tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
kerusi dan meja menghadap kiblat
jangan lupa untuk senyum
Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
Mengulang kaji menggunakan kaedah ‘output learning’ iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
Tahu teknik merangsang memori:
memasukkan maklumat dalam memori (registration)
menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
mengingat kembali (recall)
menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
Sentiasa awal dan mendahului:
persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
Mempunyai teknik membaca yang betul:
duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
memberikan tumpuan sepanuhnya
menggunakan jari telunjuk untuk membaca
menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
Tahu petua mengulang kaji
cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
siapkan semua ‘bekalan’ dengan sempurna
duduk tegak dikerusi yang selesa
baca doa penerang hati
baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
fikir dan ingat kembali isi utama
catat/lakar
semak semula ketepatan maklumat
ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
buat rumusan
jawab soalan
tampal maklumat yang rumit di dinding
baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
Tahu petua-petua agar tidak lupa:
jangan makan kepala ikan
jangan makan organ dalaman
jangan minum semasa makan
jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
jangan melihat kemaluan
jangan melihat buih
jangan membaca nama pada batu nisan
banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
banyakkan makan kismis, kurma dan madu
banyakkan makan kekacang
pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
jangan makan sehingga terlalu kenyang
jangan kencing berdiri
Tahu kemahiran mengingat:
tampal nota-nota penting di dinding
tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
gunakan kaedah akronim
reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
Cekap mengatur jadual belajar:
mempunyai jadual belajar
patuh kepada jadual
buat jadual yang boleh diikuti
Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
Pelbagaikan tempat belajar.
Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
Ciri-ciri pelajar cemerlang:
taat kepada Allah
mendirikan sembahyang
menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
hormati & sayangi guru
bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
membantu rakan yang memerlukan
berdoa dan bersyukur kepada Allah
sentiasa bertawakal
mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat. 🙂

Hasil meja bulat ditolak

Mei 5, 2009 at 6:33 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Hasil meja bulat ditolak
Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my

MUHYIDDIN mendengar penerangan Johan (dua dari kiri) ketika melakukan lawatan kerja ke Dewan Bahasa dan Pustaka sambil diperhatikan Termuzi (kanan) di Kuala Lumpur, semalam.

 

Laporan pelaksanaan PPSMI bukan penanda aras tepat: TPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diarah membuat kajian semula terhadap pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) ekoran Kabinet tidak berpuas hati dengan hasil laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI yang dibentangkan baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet berpendapat laporan daripada beberapa persidangan meja bulat PPSMI sebelum ini bukan penanda aras yang tepat untuk menilai kewajaran pelaksanaan dasar berkenaan.

 

“Kita tidak boleh membuat keputusan tanpa fakta dan bukti yang kukuh untuk menyokong sesuatu dasar itu. Saya hanya akan berpuas hati apabila mendapat maklumat lengkap yang diperoleh dari semua sudut.

“Persidangan meja bulat mungkin hanya membolehkan sesetengah pihak mengemukakan pandangan peribadi. Kita memerlukan pandangan menyeluruh sebelum memutuskan sama ada dasar PPSMI perlu ditambah baik atau ditukar,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini semalam. Hadir sama ialah Pengerusi Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI sebelum ini merumuskan tujuh cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI, iaitu:

Meneruskan PPSMI seperti sedia ada;
Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda pada peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah;
Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah;
Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah;
Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;
Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda pada Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam; dan
Penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah atau memansuhkan mata pelajaran Sains pada Tahun Satu hingga Tiga tetapi mengajar Sains dalam subjek lain.
Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) bagaimanapun mahu kerajaan memansuhkan dasar itu kerana mendakwa pelaksanaan PPSMI selama enam tahun sejak 2003 gagal memanfaatkan pelajar, khususnya pelajar Melayu di luar bandar.

Selain itu, 25 kesatuan dan persatuan yang mewakili kira-kira 350,000 guru di seluruh negara juga menolak pelaksanaan PPSMI pada peringkat sekolah rendah.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, sebarang keputusan berhubung pelaksanaan dasar PPSMI tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana ia membabitkan masa depan pelajar.

“Saya mengalu-alukan jika ada pihak yang hendak kemukakan pandangan, hendak menyerahkan memorandum atau hendak berjumpa saya jika ia bersesuaian dengan apa yang hendak disampaikan.

“Walau apapun pandangan dan pendapat, akhirnya ia perlulah mengambil kira kepentingan bahasa kebangsaan, selain bahasa Inggeris yang menjadi bahasa penting di dunia,” katanya.

Muhyiddin turut menggesa sektor swasta menyokong usaha kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan.

“Kita akui sektor swasta menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi dan urusan mereka, tetapi kerajaan berharap mereka turut menggunakan bahasa kebangsaan.

“Kerajaan serius memartabat serta memperkembangkan bahasa kebangsaan dan berharap Bulan Bahasa yang akan kita laksanakan tidak lama lagi akan mendapat sokongan sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan turut meneliti kembali Akta DBP, sekali gus menyokong usaha badan itu memartabatkan bahasa kebangsaan secara lebih berkesan dan menjadi titik mula untuk DBP bergerak dengan lebih aktif.

Keburukan babi patut jadi iktibar

Mei 5, 2009 at 6:20 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Keburukan babi patut jadi iktibar

Oleh Dr Aminudin Mansor


PENULARAN H1N1 menimbulkan keresahan di seluruh dunia.

PENYAKIT bawaan daripada babi iaitu Influenza A (H1N1) adalah penyakit sistem pernafasan akut yang biasanya menjangkiti babi, tersebar menerusi partikel kecil dalam udara atau sentuhan langsung.

Islam meletakkan babi dan anjing sebagai najis mughallazah (berat) membabitkan semua bahagian badan haiwan berkenaan. Oleh itu, umat Islam ditegaskan menjauhkan daripada terkena sentuhan ke dua-dua haiwan ini.

Ilmu perubatan moden mengakui mereka yang biasa memakan babi akan terdedah kepada pelbagai penyakit antaranya cacing pita, kulit berbintik, sakit sendi dan hilang ghairah. Badan babi mempunyai virus berbahaya yang menjadi punca penyakit Japanese Encephalitis, virus West Nite Incephalitis, resicular stomatis, penyakit kuku dan mulut serta penyakit radang hati.
Islam menggalakkan supaya umatnya sentiasa menjaga kebersihan termasuk memastikan makanan yang dimakan bersih dan halal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah baik dan tidak mengabaikan (menerima) kecuali yang baik-baik. Allah menyuruh orang mukmin seperti Dia menyuruh kepada rasul-Nya.”

Firman Allah yang bermaksud: “Hai rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal salih.” (Surah al-Mukminun, ayat 52)

 

Islam menyarankan umatnya menjauhi makanan haram, membasuh tangan sebelum menjamah makanan dan selepas makan. Peraturan itu ditekankan bagi menjaga kebersihan supaya tidak mudah terdedah kepada penyakit berjangkit.

Berkaitan daging babi, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia hanya mengharamkan atasmu bangkai darah, daging babi dan (daging) haiwan yang disembelih dengan (menyebut nama) selain Allah.”

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai manusia! Makanlah daripada (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah)

Penjagaan kesihatan melalui makan dan minum juga tempat tinggal penting bagi mengekalkan kesejahteraan hidup umat Islam di dunia dan akhirat. Oleh itu, umat Islam digalakkan menjaga makan, minum dan kebersihan tempat tinggal sebagai adab dalam kehidupan insan Muslim.

Makanan halal seimbang sangat dititikberatkan kerana ia akan mencapai kriteria yang diperlukan tubuh badan sama ada untuk pembentukan tubuh, pembekalan tenaga atau perkitaran aktiviti badan.

Keseimbangan pemakanan juga termasuk dalam maksud kesederhanaan yang dianjurkan Islam, seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah dan jangan kamu melampaui, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Surah al-Araf, ayat 31)

‘Kemahiran tambahan pertingkat keyakinan pelajar’

Mei 5, 2009 at 5:58 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

‘Kemahiran tambahan pertingkat keyakinan pelajar’
Oleh Norliza Abdullah

“KESUNGGUHAN, ketekunan serta komitmen berterusan adalah usaha awal dalam mencapai kejayaan,” kata Pengarah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Selangor, Md Ridza Md Zain.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak terutama ibu bapa, guru dan warga korporat menyuntik semangat generasi muda terus berusaha dalam pelajaran yang menjadi tunggak kejayaan.

Katanya, murid adalah golongan yang mudah dibentuk minda dan pemikiran mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.

 

“Pemerhatian kami mendapati, golongan ini perlu dibimbing dan dididik di peringkat awal bagi membolehkan mereka terus bersemangat mencapai kejayaan.

“Motivasi serta sokongan moral diperlukan kerana semangat serta kesungguhan mereka memerlukan perhatian dari semasa ke semasa,” katanya berucap pada Seminar Skor A UPSR anjuran Kelab TaHa, Tabung Haji di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Banting, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Tabung Haji Banting, Shamsudin Ahmad dan Penolong Pengarang Pendidikan, Berita Harian, Mohamad Muda.

Beliau berkata, selain memperkasa pencapaian akademik, pelajar perlu memberi perhatian kemahiran tambahan antaranya berkomunikasi secara berkesan dengan menguasai bahasa Inggeris yang menjadi pengantara antarabangsa.

Kemahiran itu katanya, memberi peluang pelajar meningkatkan keyakinan mereka untuk terus cemerlang dalam kerjaya disertai.

Seramai 270 ahli Kelab TaHa menyertai program sehari anjuran bersama akhbar sisipan Didik terbitan Berita Harian bertujuan mendedahkan mereka teknik menjawab soalan peperiksaan membabitkan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Kempen Generasi Hijau

Mei 4, 2009 at 1:05 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

 

Oleh abdul rashid abdul rahman
utusansabah@utusan.com.my
 
ANTARA pelajar SMK Kolombong yang terpilih menyertai Kempen Generasi Hijau di SMK Kelombong, Inanam, Kota Kinabalu baru-baru ini.

——————————————————————————–
 
KOTA KINABALU 3 Mei – Pemanasan global merupakan isu hangat yang diperkatakan di seluruh dunia ketika ini.

Pemanasan global dikaitkan dengan peningkatan suhu dunia dan kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu.

Menurut ahli sains, suhu bumi meningkat sejak tahun 90-an dan kumpulan itu meramalkan keseluruhan ais di Artik, Greenland dan Antartika Barat akan cair pada musim panas 2099.

Keadaan ini akan menyebabkan paras laut meningkat kira-kira tujuh meter secara mendadak.

Ia telah menimbulkan kebimbangan kepada semua pihak kerana kesannya amat buruk sehingga boleh menghancurkan tamadun manusia sebagaimana pupusnya dinasaur.

Kajian mendapati 98 peratus punca pemanasan global ialah pelepasan karbon dioksida secara berlebihan sejak abad ke-18. Menyedari hakikat ini usaha menyelamatkan bumi harus dilakukan segera melibatkan semua pihak dan semua peringkat umur.

Penglibatan pelajar sekolah merupakan salah satu cara berkesan memandangkan generasi akan datang inilah yang akan menyambung usaha menyelamatkan bumi.

Justeru program Kempen Generasi Hijau yang julung kali diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kolombong merupakan usaha murni ke arah itu.

Pengetua SMK Kolombong, Amina Miswari berkata, program itu bertujuan menerapkan kepada pelajar tentang pentingnya penjagaan alam sekitar dengan membudayakan pertanian organik ke arah pembentukan masyarakat sihat dan alam sekitar yang tidak tercemar.

Jelasnya, program itu dijalankan dengan kerjasama Shell Malaysia Berhad (Shell) dan Jawatankuasa Tindakan Alam Sekitar (EAC).

Katanya, Shell menyumbangkan bantuan kewangan manakala, EAC pula memberi bantuan tunjuk ajar dan latihan kepada peserta.

Beliau berkata, sebagai permulaan Shell telah memberi sumbangan kira-kira RM8,000 untuk membina rumah hijau dan membeli kelengkapan.

“Kami amat berbangga kerana sekolah ini dipilih untuk menyertai program yang julung kali diadakan di negeri ini yang menunjukkan penghormatan kepada sumbangan kami dalam usaha menjaga dan memulihara alam sekitar.

“Sebenarnya, ini adalah satu kesinambungan program Sekolah Rakan Alam Sekitar (Serasi) yang pernah kita ikuti dulu di mana program itu ada kaitan dengan kehijauan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, seramai 26 pelajar termasuk dua pelajar pendidikan khas dari sekolah ini dipilih menyertai program ini.

Amina memberitahu, program itu akan menekankan kepada pertanian organik yang tidak mencemar alam sekitar selain menghasilkan sayuran yang lebih selamat untuk dimakan.

“Para pelajar akan dilatih secara terperinci mengenai kaedah penanaman organik yang menekankan kepada penggunaan air yang bersih dan bebas kimia, tanah yang kaya dengan mikro-organisma dan juga keadaan alam sekitar yang baik dan sihat dari segi udaranya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Program Kempen Generasi Hijau, Mohd. Khairi Lebai Ahmad berkata, sebuah rumah hijau seluas 800 kaki persegi telah dibina di kawasan sekolah.

Katanya, sebagai permulaan, rumah hijau berkenaan akan ditanam dengan sayur sawi.

“Seterusnya kami juga akan menambahkan lagi bilangan rumah hijau dalam waktu terdekat.

“Guru Penasihat Kempen Generasi Hijau, Lojiri Maliki berkata, pelajar akan diberi jadual yang sistematik dalam melaksanakan program itu.

Katanya, peserta akan diajar dan dilatih dua kali seminggu oleh tenaga pengajar.

Sementara itu, seorang peserta program, Leonardy Ferris, 17, berkata, peluang menyertai program itu amat bermakna dan sesuai dengan hobinya yang suka bercucuk tanam.

Justeru beliau berharap akan mendapat lebih banyak pengalaman dan ilmu pertanian organik melalui program ini.

“Saya akan belajar teknik baru ini dengan bersungguh-sungguh dan cuba mengaplikasikannya di rumah selain mengajar rakan-rakan yang lain,” ujarnya

Pastikan programdilakukan berterusan

Mei 4, 2009 at 1:02 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

KOTA KINABALU 3 Mei – Sekolah yang terpilih menyertai Kempen Generasi Hijau diminta memastikan program berkenaan dilakukan secara berterusan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kesinambungan program berkenaan amat penting bagi memastikan ia mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Saya difahamkan seramai 26 pelajar akan dilatih dalam kumpulan pertama ini dan semua pelajar itu akan melatih pula kumpulan seterusnya pada tahun hadapan dan begitulah pada tahun berikutnya.

“Adalah menjadi harapan saya agar program ini akan diteruskan oleh pihak sekolah dan para pelajar seterusnya akan melatih pelajar lain dengan kemahiran yang diperoleh dalam skim latihan ini,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Kempen Generasi Hijau di Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong, Inanam dekat sini baru-baru ini.

Menurut Masidi, penekanan kepada pertanian organik bukan sahaja membantu dalam menjaga alam sekitar malah mampu memberi persediaan sekiranya berlaku krisis makanan.

“Diramalkan krisis kekurangan makanan dunia akan bertambah buruk dan bagi mengelakkan krisis ini berterusan kita harus mampu menghasilkan sumber makanan organik yang berkualiti terutamanya sayur-sayuran, baik secara individu atau berkelompok,” katanya.

Sementara itu, katanya, semua pihak harus bekerjasama dan memainkan peranan dalam usaha menyelamatkan bumi daripada kesan pemanasan global.

Minda Pengarang: Sistem pendidikan patut diubah hadapi model baru ekonomi

Mei 4, 2009 at 12:53 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

 

LANGKAH kerajaan memperkenalkan model ekonomi baru berteraskan peningkatan inovasi dan produktiviti pekerja adalah satu lagi usaha jangka panjang untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju seperti digariskan menerusi Wawasan 2020. Seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, model baru ekonomi itu akan membolehkan Malaysia menganjakkan kedudukan ekonominya daripada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi kepada berpendapatan tinggi. Memang sepatutnya negara sudah lama bergerak ke arah itu selepas dasar ekonomi negara yang berasaskan pertanian ditukar kepada berasaskan industri, pembuatan dan perkhidmatan pada zaman kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kepemimpinan negara dan mengambil kira kedudukan ekonomi ketika itu yang baru pulih daripada kesan krisis kewangan Asia, beliau memberi tumpuan kepada industri berasaskan pertanian dan bioteknologi. Justeru, matlamat model baru ekonomi yang diumumkan Najib itu adalah langkah memperkasa atau penambahbaikan dasar ekonomi yang dipelopori dua perdana menteri terdahulu dengan matlamat utama, menjadikan inovasi dan produktiviti pekerja sebagai sumber utama menjana ekonomi negara.

Selepas 30 tahun terbabit dalam bidang perindustrian, memang sudah sampai masanya kita berubah daripada hanya memasang peralatan import yang kemudian dieksport semula, kepada pembangunan dan penyelidikan (R&D) melalui inovasi dan kreativiti pekerja. Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun sudah lama menggunakan pendekatan ini yang bukan saja menjadikan mereka pengeluar teknologi untuk pasaran dunia, malah meningkatkan taraf hidup rakyat mereka. Industri di negara maju amat menekankan pengurusan terbaik, produktiviti dan inovasi kerana melaluinya mereka dapat menghasilkan barang atau perkhidmatan terbaik yang akhirnya menguntungkan syarikat, pekerja dan negara. Atas alasan peningkatan produktiviti, kreativiti dan inovasi, pekerja di negara terbabit menerima upah tinggi. Malah ketika ekonomi dunia meleset sekarang, syarikat gergasi di Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Amerika Syarikat terus menumpukan perhatian kepada bidang R&D kerana bagi mereka kesempitan yang berlaku sekarang memberi semangat dan dorongan untuk menghasilkan ciptaan terbaru.

Walaupun usaha ini bukan sesuatu yang mudah, kita percaya pakar ekonomi tempatan dan luar negara dalam Majlis Ekonomi Negara yang bakal ditubuhkan nanti mengambil kira semua aspek supaya model baru ekonomi itu dapat dilaksanakan secara praktikal, bukannya di atas kertas dasar. Kita juga yakin mereka juga memberi perhatian kepada sistem pendidikan sekarang kerana kesan sistem itu memainkan faktor penting dalam menentukan kejayaan model baru ekonomi nanti. Ia penting kerana modal insan dihasilkan menerusi sistem pendidikan bukan saja perlu kreatif, malah inovatif dan bersikap terbuka. Kita harus akui produk pendidikan yang kita hasilkan selama ini, hanya boleh menjadikan mereka pekerja yang baik, tetapi belum mampu bersaing untuk menghasilkan produk setanding dengan keluaran negara maju. Mereka dididik menjadi operator yang baik, bukan sebagai inovator. Justeru, sistem pendidikan sekarang perlu diubah untuk disesuaikan dengan model baru ekonomi yang bakal dilaksanakan nanti.

« Laman Sebelumnya

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries dan komen feeds.