2,500 warga pendidik meriahkan sambutan Hari Guru
Mei 6, 2009 at 12:20 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komenOleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
TERENGGANU akan menjadi tuan rumah Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-38 yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 16 Mei ini.
Pengerusi Pengelola Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009, Zulkifly Mohd Wazir, berkata majlis dijadualkan berlangsung di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu dan acara terbabit dinantikan warga pendidik kerana tahun ini adalah sambutan kali pertama bersama Perdana Menteri dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kira-kira 2,500 tetamu membabitkan wakil pelbagai peringkat seluruh negara akan hadir memeriahkan majlis pelancaran bertema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.
Selain itu, katanya, sambutan bermula 13 Mei itu akan diadakan di dua tempat berasingan iaitu pameran inovatif dan kaedah pembelajaran di Terengganu Trade Centre, manakala kegiatan lain di TTI.
“Berbeza sambutan sebelum ini, pameran diadakan di lokasi berlainan kerana memikirkan tempatnya strategik bagi memasyarakatkan ilmu kepada pengunjung.
“Acara lain dirancang termasuk pertandingan bahas (13 hingga 15 Mei), Majlis Makan Malam serta penyampaian anugerah yang akan diadakan di kediaman Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.
Zulkifly yang juga Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, berkata anugerah disampaikan Muhyiddin sempena Majlis Makan Malam pada 15 Mei, manakala tiga lagi oleh Najib, keesokan harinya.
“Sambutan kali ini dijangka lebih meriah kerana warga pendidik pastinya mahu mendengar idea baru yang akan disampaikan Perdana Menteri dan timbalannya yang juga Menteri Pelajaran,” katanya.
Kekurangan, pencapaian pendidikan negara dinilai
Mei 6, 2009 at 11:44 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen
Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my
MUHYIDDIN bersalam dengan warga Kementerian Pelajaran selepas menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya, semalam. |
Kerajaan guna khidmat pakar untuk perbaiki kelemahan
PUTRAJAYA: Kerajaan akan mendapatkan khidmat pakar dalam dan luar negara bagi menilai dan mengkaji tahap pencapaian sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata kajian dan penilaian itu bagi menentukan sama ada sistem pendidikan negara sudah menuju matlamat sebenar atau masih ada kekurangan yang perlu diatasi.
“Kita tidak boleh kompromi terhadap kualiti pendidikan demi anak kita dan masa depan negara. Kita nak lihat sejauh mana kita sudah berjaya dan langkah tambahan untuk membangunkan negara.
“Sejauh mana tahap pendidikan kita setakat ini. Jika ada kelemahan, kita akan kenal pasti sama ada dari segi keupayaan tenaga pengajar, pentadbir dan pelajar. Kualiti pendidikan dalam aspek pengajaran, pembelajaran, kokurikulum dan kemudahan akan kita tekankan supaya dapat mencapai sasaran kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat sulung sebagai Menteri Pelajaran sempena perhimpunan bulanan kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkarnain Awang; dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.
Ditanya sama ada Kementerian akan mewujudkan sukatan pelajaran berkaitan Konsep Satu Malaysia, beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat berbuat demikian kerana sukatan dan pendekatan sedia ada sudah memberi penekanan mengenai kegiatan sosial di sekolah termasuk sukan dan riadah selain pengajaran formal.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah mengumumkan Jawatankuasa Khas Kabinet pembangunan sumber manusia. Skop jawatankuasa khas ini akan dirangka Ketua Setiausaha Negara yang memberi tumpuan kepada keperluan meningkatkan mutu pendidikan,” katanya.
Sebarang perubahan dalam kajian semula kandungan buku teks Sejarah hanya boleh dibuat berdasarkan fakta dan kebenaran kerana sejarah tidak boleh diubah sesuka hati, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong sebelum ini yang mencadangkan buku sejarah sekolah dikaji semula oleh jawatankuasa dianggotai pakar semua kaum bagi memastikan kandungannya tidak menyinggung perasaan sama ada orang Melayu, Cina atau India serta salah faham.
Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries dan komen feeds.