Kempen Generasi Hijau
Mei 4, 2009 at 1:05 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen
Oleh abdul rashid abdul rahman
utusansabah@utusan.com.my
ANTARA pelajar SMK Kolombong yang terpilih menyertai Kempen Generasi Hijau di SMK Kelombong, Inanam, Kota Kinabalu baru-baru ini.
——————————————————————————–
KOTA KINABALU 3 Mei – Pemanasan global merupakan isu hangat yang diperkatakan di seluruh dunia ketika ini.
Pemanasan global dikaitkan dengan peningkatan suhu dunia dan kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu.
Menurut ahli sains, suhu bumi meningkat sejak tahun 90-an dan kumpulan itu meramalkan keseluruhan ais di Artik, Greenland dan Antartika Barat akan cair pada musim panas 2099.
Keadaan ini akan menyebabkan paras laut meningkat kira-kira tujuh meter secara mendadak.
Ia telah menimbulkan kebimbangan kepada semua pihak kerana kesannya amat buruk sehingga boleh menghancurkan tamadun manusia sebagaimana pupusnya dinasaur.
Kajian mendapati 98 peratus punca pemanasan global ialah pelepasan karbon dioksida secara berlebihan sejak abad ke-18. Menyedari hakikat ini usaha menyelamatkan bumi harus dilakukan segera melibatkan semua pihak dan semua peringkat umur.
Penglibatan pelajar sekolah merupakan salah satu cara berkesan memandangkan generasi akan datang inilah yang akan menyambung usaha menyelamatkan bumi.
Justeru program Kempen Generasi Hijau yang julung kali diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kolombong merupakan usaha murni ke arah itu.
Pengetua SMK Kolombong, Amina Miswari berkata, program itu bertujuan menerapkan kepada pelajar tentang pentingnya penjagaan alam sekitar dengan membudayakan pertanian organik ke arah pembentukan masyarakat sihat dan alam sekitar yang tidak tercemar.
Jelasnya, program itu dijalankan dengan kerjasama Shell Malaysia Berhad (Shell) dan Jawatankuasa Tindakan Alam Sekitar (EAC).
Katanya, Shell menyumbangkan bantuan kewangan manakala, EAC pula memberi bantuan tunjuk ajar dan latihan kepada peserta.
Beliau berkata, sebagai permulaan Shell telah memberi sumbangan kira-kira RM8,000 untuk membina rumah hijau dan membeli kelengkapan.
“Kami amat berbangga kerana sekolah ini dipilih untuk menyertai program yang julung kali diadakan di negeri ini yang menunjukkan penghormatan kepada sumbangan kami dalam usaha menjaga dan memulihara alam sekitar.
“Sebenarnya, ini adalah satu kesinambungan program Sekolah Rakan Alam Sekitar (Serasi) yang pernah kita ikuti dulu di mana program itu ada kaitan dengan kehijauan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, seramai 26 pelajar termasuk dua pelajar pendidikan khas dari sekolah ini dipilih menyertai program ini.
Amina memberitahu, program itu akan menekankan kepada pertanian organik yang tidak mencemar alam sekitar selain menghasilkan sayuran yang lebih selamat untuk dimakan.
“Para pelajar akan dilatih secara terperinci mengenai kaedah penanaman organik yang menekankan kepada penggunaan air yang bersih dan bebas kimia, tanah yang kaya dengan mikro-organisma dan juga keadaan alam sekitar yang baik dan sihat dari segi udaranya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Program Kempen Generasi Hijau, Mohd. Khairi Lebai Ahmad berkata, sebuah rumah hijau seluas 800 kaki persegi telah dibina di kawasan sekolah.
Katanya, sebagai permulaan, rumah hijau berkenaan akan ditanam dengan sayur sawi.
“Seterusnya kami juga akan menambahkan lagi bilangan rumah hijau dalam waktu terdekat.
“Guru Penasihat Kempen Generasi Hijau, Lojiri Maliki berkata, pelajar akan diberi jadual yang sistematik dalam melaksanakan program itu.
Katanya, peserta akan diajar dan dilatih dua kali seminggu oleh tenaga pengajar.
Sementara itu, seorang peserta program, Leonardy Ferris, 17, berkata, peluang menyertai program itu amat bermakna dan sesuai dengan hobinya yang suka bercucuk tanam.
Justeru beliau berharap akan mendapat lebih banyak pengalaman dan ilmu pertanian organik melalui program ini.
“Saya akan belajar teknik baru ini dengan bersungguh-sungguh dan cuba mengaplikasikannya di rumah selain mengajar rakan-rakan yang lain,” ujarnya
Pastikan programdilakukan berterusan
Mei 4, 2009 at 1:02 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komenKOTA KINABALU 3 Mei – Sekolah yang terpilih menyertai Kempen Generasi Hijau diminta memastikan program berkenaan dilakukan secara berterusan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kesinambungan program berkenaan amat penting bagi memastikan ia mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Saya difahamkan seramai 26 pelajar akan dilatih dalam kumpulan pertama ini dan semua pelajar itu akan melatih pula kumpulan seterusnya pada tahun hadapan dan begitulah pada tahun berikutnya.
“Adalah menjadi harapan saya agar program ini akan diteruskan oleh pihak sekolah dan para pelajar seterusnya akan melatih pelajar lain dengan kemahiran yang diperoleh dalam skim latihan ini,” katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran Kempen Generasi Hijau di Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong, Inanam dekat sini baru-baru ini.
Menurut Masidi, penekanan kepada pertanian organik bukan sahaja membantu dalam menjaga alam sekitar malah mampu memberi persediaan sekiranya berlaku krisis makanan.
“Diramalkan krisis kekurangan makanan dunia akan bertambah buruk dan bagi mengelakkan krisis ini berterusan kita harus mampu menghasilkan sumber makanan organik yang berkualiti terutamanya sayur-sayuran, baik secara individu atau berkelompok,” katanya.
Sementara itu, katanya, semua pihak harus bekerjasama dan memainkan peranan dalam usaha menyelamatkan bumi daripada kesan pemanasan global.
Minda Pengarang: Sistem pendidikan patut diubah hadapi model baru ekonomi
Mei 4, 2009 at 12:53 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen
LANGKAH kerajaan memperkenalkan model ekonomi baru berteraskan peningkatan inovasi dan produktiviti pekerja adalah satu lagi usaha jangka panjang untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju seperti digariskan menerusi Wawasan 2020. Seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, model baru ekonomi itu akan membolehkan Malaysia menganjakkan kedudukan ekonominya daripada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi kepada berpendapatan tinggi. Memang sepatutnya negara sudah lama bergerak ke arah itu selepas dasar ekonomi negara yang berasaskan pertanian ditukar kepada berasaskan industri, pembuatan dan perkhidmatan pada zaman kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kepemimpinan negara dan mengambil kira kedudukan ekonomi ketika itu yang baru pulih daripada kesan krisis kewangan Asia, beliau memberi tumpuan kepada industri berasaskan pertanian dan bioteknologi. Justeru, matlamat model baru ekonomi yang diumumkan Najib itu adalah langkah memperkasa atau penambahbaikan dasar ekonomi yang dipelopori dua perdana menteri terdahulu dengan matlamat utama, menjadikan inovasi dan produktiviti pekerja sebagai sumber utama menjana ekonomi negara.
Selepas 30 tahun terbabit dalam bidang perindustrian, memang sudah sampai masanya kita berubah daripada hanya memasang peralatan import yang kemudian dieksport semula, kepada pembangunan dan penyelidikan (R&D) melalui inovasi dan kreativiti pekerja. Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun sudah lama menggunakan pendekatan ini yang bukan saja menjadikan mereka pengeluar teknologi untuk pasaran dunia, malah meningkatkan taraf hidup rakyat mereka. Industri di negara maju amat menekankan pengurusan terbaik, produktiviti dan inovasi kerana melaluinya mereka dapat menghasilkan barang atau perkhidmatan terbaik yang akhirnya menguntungkan syarikat, pekerja dan negara. Atas alasan peningkatan produktiviti, kreativiti dan inovasi, pekerja di negara terbabit menerima upah tinggi. Malah ketika ekonomi dunia meleset sekarang, syarikat gergasi di Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Amerika Syarikat terus menumpukan perhatian kepada bidang R&D kerana bagi mereka kesempitan yang berlaku sekarang memberi semangat dan dorongan untuk menghasilkan ciptaan terbaru.
Walaupun usaha ini bukan sesuatu yang mudah, kita percaya pakar ekonomi tempatan dan luar negara dalam Majlis Ekonomi Negara yang bakal ditubuhkan nanti mengambil kira semua aspek supaya model baru ekonomi itu dapat dilaksanakan secara praktikal, bukannya di atas kertas dasar. Kita juga yakin mereka juga memberi perhatian kepada sistem pendidikan sekarang kerana kesan sistem itu memainkan faktor penting dalam menentukan kejayaan model baru ekonomi nanti. Ia penting kerana modal insan dihasilkan menerusi sistem pendidikan bukan saja perlu kreatif, malah inovatif dan bersikap terbuka. Kita harus akui produk pendidikan yang kita hasilkan selama ini, hanya boleh menjadikan mereka pekerja yang baik, tetapi belum mampu bersaing untuk menghasilkan produk setanding dengan keluaran negara maju. Mereka dididik menjadi operator yang baik, bukan sebagai inovator. Justeru, sistem pendidikan sekarang perlu diubah untuk disesuaikan dengan model baru ekonomi yang bakal dilaksanakan nanti.
Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries dan komen feeds.