KKTM, IKM raih pingat dan anugerah Platinum Pertandingan MySkills 2009

Mei 15, 2009 at 12:18 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Oleh Khairina Yasin

MARA menerusi GiatMara Malaysia, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Institut Kemahiran Mara (IKM) menggondol tiga pingat emas, tujuh perak, empat gangsa serta Anugerah Platinum pada Pertandingan MySkills 2009 anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, baru-baru ini.

Anugerah Platinum diraih tenaga pengajar Giatmara Ipoh Timur, Mohamad Sharifuddin Ibrahim menerusi kategori Electrical Installation yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Perhimpunan Hari Pekerja 2009 di Stadium Bukit Jalil.

Pingat emas pula diterima Noor Laila Ahmad dari GiatMara Serdang, Alias Abdullah (GiatMara Setiu) dan Masran Morsidi (GiatMara Seratok), masing-masing bagi kategori Ladies Dressmaking, Wall and Floor Tiling dan Bricklaying.

 

Penerima pingat perak ialah Purnomo Md Khalid (GiatMara Segamat), Shireenazura Abdullah (GiatMara Ampang Jaya), Samsul Bahari Zakaria (GiatMara Jeli),

Seterusnya, Shamsiah Samat (GiatMara Batang Sadong), Mohd Faizal Halim (GiatMara Kuala Kangsar), Mohamad Bakri Ismail (IKM Kuching) dan Abdul Wahid Kamarudin (IKM Lumut).

Tiga gangsa pula disandang Siti Noraliza Mohd Darus (GiatMara Cheras), Normaizatulhuda Ismail (IKM Lumut) dan Mohd Suhaimi Mohamed Shamsudin (IKM Kuching).

Pertandingan MySkills diadakan bagi mengiktiraf keupayaan dan potensi tenaga pengajar pusat latihan kemahiran selaras matlamat melahirkan pengajar bertaraf dunia.

Selain itu, ia memberi peluang tenaga pengajar mempamerkan kemahiran terbaik masing-masing dan mendapat pengiktirafan sewajarnya seiring objektif melahirkan pengajar berkualiti, berdaya saing, mempunyai budaya kerja cemerlang serta mutu kerja bertaraf antarabangsa.

Iran iktiraf program pembelajaran di Unisel

Mei 15, 2009 at 12:17 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
UNIVERSITI Industri Selangor (Unisel) dijangka menerima pertambahan pelajar dari Iran selepas negara itu mengiktiraf program ditawarkan universiti berkenaan.

Jaminan itu diberi Pengarah Hal Ehwal Pelajar Iran bagi Rantau Pasifik Selatan, Dr Vahid Alli menerusi penyerahan surat pengiktirafan kepada Naib Canselor Unisel, Datuk Dr Rosti Saruwono, di Shah Alam, baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali.

 

Vahid, berkata setakat ini 22 institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia diiktiraf kerajaan Iran sebagai pilihan pelajarnya melanjutkan pengajian peringkat ijazah dan pascaijazah.

“Kami juga mengiktiraf semua 87 program yang ditawarkan Unisel dan pelajar kami mempunyai pilihan memilih kursus ditawarkan universiti itu.

“Saya mempelawa Unisel ke Iran bagi mengadakan kerjasama dengan beberapa universiti, selain pertukaran tenaga akademik, pelajar dan penyelidikan sempena promosi pendidikan negaranya pada Jun atau Julai depan.

“Iran kini menggalakkan rakyatnya menuntut ilmu tanpa mengira tempat dan negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Malaysia.” katanya.

Dalam ucapannya, Rosti, berkata beliau mengalu-alukan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan Iran serta berharap kerjasama itu akan mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Beliau berkata, Unisel akan meningkatkan kegiatan promosi ke Iran serta menjalin kerjasama dengan beberapa IPT di sana dalam usaha mengukuhkan hubungan yang memberi manfaat warga Unisel.

Kampus: Magic LUCT

Mei 15, 2009 at 12:15 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
Sistem pendidikan Malaysia mampu penuhi keperluan global

MAGIC diilhamkan Presiden Limkokwing University Creative Technology (LUCT), Prof Emeritus Tan Sri Lim Kok Wing memberi gambaran mengenai pengalaman pelajar daripada lebih 150 negara mengenai sistem pendidikan ditawarkan di Malaysia yang berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan pasaran global.

Buku tulisan anak perempuan beliau, Tiffanne Marie Lim itu turut menzahirkan pandangan serta pengalaman pertama lebih 100 pelajar antarabangsa LUCT yang berada di semua kampus cawangannya mengenai pentingnya pendidikan berkualiti dalam melahirkan graduan yang memiliki nilai pasaran tinggi.

 

Pengalaman itu memberi dorongan serta motivasi generasi muda supaya tekun menelaah pelajaran, selain menyuntik semangat pelajar sekolah memilih program sesuai dengan minat dan kelayakan.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Filem Digital dan Televisyen, Mark Alejandro, berkata dia kagum dengan kemudahan ditawarkan kerana teknologi disediakan membolehkannya mengikuti program dengan sempurna.

Dia yang berasal dari Norway, berkata pendedahan industri ditawarkan menerusi latihan amali memberikannya peluang mendalami pengetahuan sebaik mungkin, selain diberi kebebasan mengembangkan kreativiti.

Kaedah pengajaran berkesan dilengkapi teknologi canggih memberi peluang pelajar menghasilkan yang terbaik, sekali gus menyediakan graduan keperluan asas sebelum memasuki dunia pekerjaan.

“Pengalaman serta perkongsian dengan rakan daripada negara luar menambah pengetahuan, selain berkongsi pendapat dalam meningkatkan kefahaman mengenai budaya masing-masing,” katanya.

Magic diterbitkan berdasarkan perkongsian pengalaman antara Tiffanne dan pelajarnya itu adalah antara usaha memotivasikan generasi muda menimba pengetahuan, selain mengembangkannya dalam pelbagai saluran untuk dikongsi bersama.

Produk dan perkhidmatan berkualiti ditawarkan serta disokong promosi berterusan membantu meningkatkan pencapaian, selain memberi keyakinan kepada umum mengenai pentingnya pendidikan yang menjadi pemangkin kepada kesejahteraan.

Bagi Carmen Wesh, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pentadbiran, berkata pengalaman belajar di LUCT begitu berharga. Perkongsian maklumat dengan pelajar antarabangsa memberinya peluang mendalami struktur pengurusan sesebuah organisasi.

Malah dia yang berasal dari Jerman, berkata kekayaan seni dan budaya masyarakat setempat memberi peluang kepadanya belajar dan mendalami budaya masyarakat penduduk tempatan.

“Saya memilih LUCT kerana yakin kualiti ditawarkan bertaraf dunia dengan kemudahan pembelajaran canggih, selain memberi peluang mempelajari ilmu pengurusan perniagaan.

“Suasana pembelajaran yang kondusif serta kos sara hidup sederhana tidak membebankan, selain persekitaran globalnya membolehkan dia belajar banyak perkara daripada pelajar pelbagai negara seperti Afrika Selatan, Asia Barat, China, India dan Indonesia,” katanya.

Respons: Kenang jasa dan pengorbanan guru sepanjang hayat

Mei 15, 2009 at 3:21 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Oleh Zainor Said

HARI Guru yang bakal disambut esok, sekali lagi mengingatkan kita akan besarnya jasa serta pengorbanan insan yang bergelar pendidik.

Hari Guru bukan saja harus diraikan warga pendidik, malah semua pihak terutama golongan pelajar, mereka yang sudah meninggalkan alam persekolahan serta ibu bapa harus sama-sama menghayatinya, walaupun ia adalah hari yang istimewa khusus buat golongan guru.

Bagi pelajar yang masih bersekolah, guru boleh disifatkan sebagai ibu bapa kedua kerana mereka bukan saja mendidik pelajar untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah turut memupuk nilai murni rohani dan jasmani, kasih sayang, akhlak mulia serta menghindari segala keburukan agar menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara seperti yang diimpikan setiap ibu bapa.

 

Sebab itulah pelajar harus menghormati guru dan patuh kepada segala tunjuk ajar dan nasihat guru seperti mana mereka mentaati ibu bapa, selagi ia tidak bertentangan dengan jalan kebaikan. Jarang berlaku dalam sejarah peradaban manusia, guru menyuruh anak didiknya melakukan sesuatu yang bertentangan, walaupun guru terpaksa menghukum pelajarnya sendiri, tetapi ia adalah semata-mata demi kebaikan.

Bagi mereka yang sudah meninggalkan alam persekolahan, jasa bekas guru tidak harus dilupa kerana hasil daripada didikan gurulah telah meletakkan diri mereka pada kedudukan di mana mereka berada sekarang. Kejayaan mereka adalah kerana hasil didikan guru dan jika mereka gagal sekalipun, adalah kerana salah diri sendiri yang tidak mengikut nasihat guru.

Setiap insan tentunya mahu mengecapi kesenangan dalam kehidupan. Kegagalan akan membuatkan kita insaf dan menyesal kerana tidak memberi tumpuan kepada pelajaran serta mengikuti pesanan guru sewaktu berada di bangku sekolah suatu ketika dahulu.

Pada hari ini, segala kenangan sewaktu berada di sekolah akan kembali bermain di fikiran ramai insan dan menimbulkan kesedaran serta keinsafan betapa besarnya peranan guru.

Bagi ibu bapa pula, rasa hormat kepada guru harus sentiasa ditanam dalam jiwa mereka agar ia menjadi contoh dan ikutan anak masing-masing agar tidak bersikap biadap terhadap guru. Setiap ibu bapa yang tahu menghormati dan menghargai jasa guru, tidak mungkin menyemai sifat benci terhadap guru dalam jiwa anak-anak, tidak kira apa bangsa sekali pun.

Jika mereka sanggup menyerahkan amanah mendidik anak mereka kepada guru, tiada sebab ibu bapa curiga dengan keikhlasan guru dalam melaksanakan tanggungjawab. Tidak ada guru yang mahu melihat anak didiknya gagal, sebaliknya merekalah orang paling bangga dan gembira apabila anak didik mereka berjaya .

Setiap kali Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei diraikan, pelbagai acara diadakan termasuk perayaan di peringkat kebangsaan dengan menampilkan pelbagai anugerah sebagai tanda menghargai dan mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru.

Di peringkat sekolah pula, pelajar serta ibu bapa tidak melepas peluang untuk menyatakan penghargaan dengan memberikan cenderamata kepada guru kesayangan mereka. Apa yang penting bukanlah nilai hadiah yang diberikan, tetapi ia menjadi tanda ingatan dan simbolik penghargaan pelajar terhadap jasa guru yang mengajar mereka selama ini.

Amalan itu merupakan nilai murni yang harus dipupuk, ditanam dan disuburkan dalam jiwa setiap pelajar sejak kecil. Jika ia terus menjadi amalan, kita yakin perasaan kasih terhadap guru mereka akan terus subur sehingga mereka meninggalkan alam persekolahan.

Sikap memuja dan mengagungkan golongan tertentu secara berlebihan sehingga menyebabkan mereka lupa terhadap golongan yang lebih banyak berjasa dalam mendidik sehingga lahir sebagai insan kamil dan berjaya tidak harus menjadi budaya. Guru sebenarnya tidak mengharapkan sebarang ihsan atau balasan daripada anak didik mereka. Apa yang akan membanggakan mereka dan rasa dihargai adalah kejayaan anak didik dalam pelajaran dan keluar menjadi manusia berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Guru biasanya tidak mudah lupa dengan bekas pelajarnya yang berjaya walaupun setelah beberapa tahun meninggalkan alam persekolahan, sebaliknya pelajarlah yang sering lupa terhadap jasa dan pengorbanan mereka.

Tanyalah pada diri sendiri, masihkah ingat kepada guru yang pernah mengajar kita suatu ketika dahulu. Adakah masih bertemu dan menziarahi mereka (jika masih ada) apabila pulang ke kampung halaman atau mendoakan kesejahteraan mereka seperti kita mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa kita.

Selamat Hari Guru kepada semua guru terutama yang pernah mengajar saya suatu ketika dahulu di Sekolah Kebangsaan Seri Tasek, Sekolah Menengah Simpang Ampat dan Bukit Mertajam High School.

Jutaan terima kasih juga kepada semua guru yang pernah dan masih mendidik anak-anak saya di Sekolah Kebangsaan St Mary dan Sekolah Menengah Kebangsaan St Mary.

Tidak lupa juga kepada semua guru yang terbabit dalam program pendidikan anjuran Unit Pendidikan, Berita Harian, khususnya menerusi program Klinik UPSR, Seminar PMR dan Seminar SPM. Sekalung penghargaan kepada semua guru yang terbabit.

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries dan komen feeds.