Guru mahu fokus tugas hakiki, keselamatan sekolah terjamin

Mei 18, 2009 at 4:16 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my
SETIAP kali sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan diadakan pasti ada ‘buah tangan’ diumumkan kerajaan sebagai tanda penghargaan terhadap golongan pendidik yang banyak mengorbankan masa dan tenaga serta wang ringgit demi menjalankan amanah mendidik anak bangsa.

Mengulas ‘hadiah’ diharapkan sempena sambutan tahun ini, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata dua isu utama memerlukan penyelesaian segera Kementerian Pelajaran, iaitu beban tugas guru serta tahap keselamatan di sekolah.

Beliau berkata, sebagai badan mewakili lebih 145,000 tenaga pengajar seluruh negara, kesatuan itu menerima banyak aduan guru yang berasa tertekan kerana dibebani tugas tidak berkaitan pengajaran dan pembelajaran (P&P) terutama perkeranian hingga tugas hakiki mereka iaitu mendidik pelajar terjejas.

 

Turut menjadi harapan guru, katanya, adalah langkah sewajarnya perlu dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan tahap keselamatan di sekolah bagi memastikan ia kekal sebagai tempat selamat bagi proses P&P.

“Harapan NUTP sempena Hari Guru tahun ini ialah guru diberi lebih masa mendidik pelajar dengan memberi ruang secukupnya bagi mereka menjalankan P&P, bukan dibebankan dengan tugas lain seperti perkeranian.

“Peningkatan kes kemalangan di sekolah akibat kelemahan struktur binaan seperti tembok runtuh dan parit tidak bertutup juga menuntut perhatian kementerian supaya tahap keselamatannya dapat dipastikan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Loke berkata, berdasarkan perkembangan ekonomi semasa, dua tuntutan itu dijadikan keutamaan persatuan dengan mengambil kira kemampuan kerajaan, namun ia tidak bermakna isu dan tuntutan lain tidak terus diperjuangkan.

“NUTP berharap golongan pendidik bersabar jika tidak semua permintaan mereka dipenuhi dalam masa terdekat kerana kita perlu mengambil kira kemampuan kerajaan untuk memberikannya.

“Isu seperti guru naik pangkat tetapi gaji berkurang, kelonggaran bagi guru senior untuk naik pangkat serta pengiktirafan terhadap guru yang mempunyai kelayakan sarjana dan ijazah doktor falsafah tetap kami perjuangkan secara berterusan walaupun ia mengambil masa hingga 10 tahun untuk dilunaskan,” katanya.

Sesuai dengan tema Hari Guru tahun ini, katanya, golongan pendidik perlu terus memberi fokus mengutamakan amanah mendidik anak bangsa sekalipun diibaratkan sebagai lilin membakar diri demi menerangi kehidupan orang lain.

Sementara itu, beberapa guru dihubungi Berita Harian berharap kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya bagi membebaskan mereka daripada tekanan dan belenggu beban tugas tidak berkaitan P&P sebagai salah satu insentif sempena Hari Guru tahun ini.

Guru Penolong Kanan Tadbir & Kurikulum, Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Setapak, Narizah Mohd Daud, 48, berkata saranan mewujudkan jawatan Pembantu Khas bagi mengatasi masalah itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan guru terus menjadi mangsa keadaan.

Eliah Jaffar, 39, yang kini bertugas di SK Bandar Tun Hussein Onn, pula berkata antara punca masalah disiplin pelajar semakin berleluasa ketika ini kerana guru kurang masa untuk berdamping dengan pelajar akibat beban tugas.

Bekas guru besar, Mohd Joni Dollah, 59, pula menyifatkan perkhidmatan guru kini terpesong daripada tugas utama mendidik anak bangsa kerana terpaksa memikul tanggungjawab lain yang tidak sewajar mereka lakukan.

“Beban tugas yang tidak munasabah inilah menimbulkan pelbagai masalah dan tekanan kepada guru. Isu ini perlu mendapat perhatian serius kerajaan supaya usaha menjana modal insan dari peringkat sekolah tidak terjejas,” katanya.

Tahniah Kepada pssmirza@gmail.com

Mei 18, 2009 at 2:01 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

Tahniah kepada semua yang berusaha, semoga sekolah ini akan terus melahirkan generasi yang berilmu dan berwawasan dari pada saya bekas pelajar sekolah ini 1978-1982. gl.

Daripada : pssmirza@gmail.com

 

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pelawat pssmirza@gmail.com yang mengunjungi blog persatuan agasean ini. Saya berharap akan lebih ramai lagi yang tampil untuk mengunjungi blog ini terutama kepada yang pernah bersekolah di SMK Agaseh bagi melestarikan Persatuan Agasean sebagai wadah pembangunan medan pendidikan bukan sahaja di sekolah ini malahan di negeri Sabah dan negara. Sila khabarkan kepada rakan-rakan anda yang belum mengunjungi blog ini supaya dapat melayari,kerana kita hendak kumpul semula pelajar-pelajar SMK Agaseh dibawah payung Persatuan Agasean.Anda boleh hantar gambar atau ucapan ke emil : karismasilam@gmail.com . Segala maklumat yang anda kirim saya akan paparkan di laman utama blog ini.

 

Penganalisis SilamGemilang

Blog di WordPress.com.
Entries dan komen feeds.