Waktu pembelajaran BI ditingkat 70 peratus mulai 2012
Julai 11, 2009 at 1:54 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komenWaktu pembelajaran BI ditingkat 70 peratus mulai 2012
KUALA LUMPUR: Waktu pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah akan ditambah menjadi 70 peratus mulai 2012 dalam usaha memperkasakan penggunaan bahasa itu di kalangan pelajar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada masa ini, waktu pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah hanya dapat ditambah sebanyak 14 peratus kerana tempoh keseluruhan pengajaran bahasa itu yang sedia ada hanya boleh menampung masa setakat itu saja.
Muhyiddin berkata, apabila waktu pembelajaran subjek itu ditingkatkan, kurikulum bahasa Inggeris antara lain akan menambah komponen baru dalam pengajaran tata bahasa dan elemen kesusasteraan.
Selain itu, pemilihan guru yang terlatih juga akan ditimbangkan begitu juga penggunaan buku teks Bahasa Inggeris dan pengisian penggunaan makmal Bahasa Inggeris akan diperincikan, katanya pada sidang media selepas melancarkan program 1Malaysia bagi Kementerian Pelajaran di Taman Tasik Titiwangsa di sini.
“Atas dasar itu, kita mahu pembelajaran bahasa Inggeris, selain bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan, menjadi pembelajaran yang utama,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan mengambil langkah bagi memperbanyakkan lagi perbendaharaan kata Bahasa Melayu selain istilah untuk Sains, Teknologi dan Matematik.
Menurutnya, perkara itu akan dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan Negara Malaysia dan sejumlah peruntukan disediakan untuk tujuan itu.
Ketika ditanya mengenai blog bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menunjukkan 80 peratus daripada 26,000 pengunjung blog yang mengambil bahagian dalam undian membantah pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan mengenainya adalah muktamad dan ia dibuat selepas bukti “sampel” diambil dari seluruh negara.
“Memang di negara ini kita mempunyai kumpulan yang memberi pandangan yang berbeza-beza…kita hormati pandangan mereka. Tapi yang penting, keputusan sudah pun dibuat,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, program 1Malaysia Kementerian Pelajaran bertujuan memberi pemahaman secara menyeluruh mengenai program itu di seluruh negara.
“Saya mahu pelajar sekolah bukan sekadar memahami tapi juga menghayati betapa pentingnya semangat perpaduan yang erat bersama bangsa dan kaum yang ada di negara kita,” katanya.
Muhyiddin berkata, konsep perpaduan 1Malaysia itu akan memberi penekanan secara lebih kepada program yang diatur dalam bentuk kokurikulum.
Menurutnya melalui kepelbagaian budaya, semangat kerjasama dapat ditingkatkan dan boleh menimbulkan kefahaman antara satu satu-satu individu dengan yang lain.
“Diharapkan perpaduan dapat menjadi pegangan anak-anak sejak di bangku sekolah lagi,” katanya. – Bernama
Rasional mansuh dasar PPSMI 2012
Julai 11, 2009 at 1:50 pm | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komenRasional mansuh dasar PPSMI 2012
Oleh Ridzuan Yop dan Shamsul Kamal Amarudin
bhnews@bharian.com.my
MUHYIDDIN bersama isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Dr Zambry (dua dari kiri) dan Dr Ling melihat pameran replika otak di UTAR, Kampar, semalam. |
Kerajaan perlu sedia kelengkapan pengajaran
KAMPAR: Keputusan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 tidak wajar dipersoalkan kerana kerajaan mahu memastikan ia tidak dilaksanakan secara gopoh, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri mengakui ada pihak termasuk pejuang bahasa mahu jika boleh pemansuhan dasar itu dibuat esok, tetapi kerajaan memikirkan ia tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga menggagalkan matlamatnya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata tempoh dua tahun sehingga 2012 diperlukan untuk membuat persiapan seperti menyediakan guru berkelayakan, makmal bahasa, alat bantuan mengajar dan sebagainya.
“Kita mengambil kira tempoh masa itu untuk membuat persiapan yang sempurna, tidak perlu tergopoh-gapah dalam soal pendidikan ini… kita fahamlah pejuang bahasa ini kalau boleh esok nak mulakan.
“Kita mesti realistik sebab itu kita perlu tempoh masa yang sesuai, itupun ada orang kata awal sangat dan perlukan tempoh masa yang lebih sesuai lagi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pesta Mind Malaysia kelima di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kampus Perak di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Majlis UTAR, Tun Dr Ling Liong Sik dan Presiden UTAR, Prof Datuk Dr Chuah Hean Teik.
Muhyiddin juga mengakui kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan tidak dapat memuaskan hati semua pihak.
“Tempoh dua tahun setengah ini memberikan kita masa cukup untuk memastikan kita ada kelengkapan, kita tidak mahu terjebak sama seperti ketika PPSMI diperkenalkan.
“Saya tahu ada sesetengah sekolah di kawasan bandar tidak menghadapi masalah melaksanakan PPSMI, tetapi kita bukan bercakap hanya untuk beberapa sekolah tetapi lebih 10,000 sekolah seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, sebelum PPSMI diperkenalkan pada 2003, bahasa kebangsaan digunakan untuk semua bidang ilmu termasuk Matematik dan Sains.
Ketika diminta mengulas gesaan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) supaya dasar itu dimansuhkan secara menyeluruh termasuk pada peringkat universiti, Muhyiddin berkata, perkara itu diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran mengkaji memperkenalkan program literasi minda atau kemahiran berfikir di sekolah bagi menguatkan daya ingatan pelajar agar dapat menguasai ilmu dipelajari dengan lebih cekap dan cepat.
Katanya, sebagai permulaan kementerian akan mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan Gerakan Literasi Mental Malaysia (MMLM) untuk memperkenalkannya di sekolah terpilih.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Gagasan ‘1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’ boleh menjadi jenama hebat sekiranya seluruh lapisan masyarakat memahami konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, konsep itu membawa maksud dan komponen yang baik antaranya semangat perpaduan, kerjasama, saling bantu-membantu dan tidak ada perbezaan layanan dalam kesaksamaan kepada semua lapisan masyarakat.
“Untuk memahami gagasan ini yang perlu diperjelaskan lagi kepada rakyat, ia akan mengambil masa. Pentadbiran Najib akan masuk 100 hari, ini idea baru dan ia mengambil masa untuk orang faham.
“Bukan (konsep) 1Malaysia saja tetapi konsep rakyat didahulukan jangan diputar-belitkan sehingga menimbulkan salah faham kerana ia satu pendekatan penting yang boleh diperluaskan dalam pelbagai bentuk,” katanya.
Katanya, makna dan konsep 1Malaysia akan dijelaskan kementerian dan agensi kerajaan terutama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
“Selain itu, media massa berperanan penting untuk menjelaskan gagasan yang dibawa Najib kepada 27 juta penduduk di negara ini,” katanya.
Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries dan komen feeds.