UM Menuju Kecermerlangan Dalam Penyelidikan Ortopedik
Jun 30, 2009 at 2:29 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komenOleh Zulkiple Ibrahim KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) —
“Matlamat kami ialah untuk menjalin kaedah meringankan penderitaan manusia serta penjagaan pesakit dalam bidang pembedahan ortopedik”. Itulah kata-kata Prof Datuk Tunku Sara Tunku Ahmad, Pengarah Pusat Ortopedik Nasional untuk Kecermelangan Penyelidikan dan Pembelajaran, Universiti Malaya atau dikenali juga sebagai ‘NOCERAL’. Antara objektif lain pusat itu ialah menawarkan pembelajaran dan penyelidikan lanjutan dalam bidang pembedahan ortopedik serta menyediakan dana untuk penyelidikan bagi bidang yang sama. Prof Tunku Sara berkata demikian dalam temubual eksklusif dengan Bernamma di sini baru-baru ini. Beliau juga merupakan pakar rujuk kanan Pusat Perubatan UM (PPUM) pengkhususan dalam surgeri tangan dan mikro. Prof Madya Dr Tai Cheh Chui, pakar rujuk pembedahan ortopedik bagi Pusat Pakar UM (UMSC) turut hadir pada temu bual itu. Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi Dr Hou Kok Chung menyempurnakan majlis pecah tanah NOCERAL pada 23 Jun lepas di Fakulti Perubatan UM. Bangunan empat tingkat itu, yang berharga RM6.8 juta dijangka siap Julai tahun depan. ‘PERJALANAN’ NOCERAL Menurut Prof Tunku Sara, idea untuk penubuhan NOCERAL dicetuskan oleh Datuk Dr Mahmood Osman Merican, antara nama ulung dalam bidang pembedahan ortopedik di Malaysia. “Segalanya bermula enam tahun dahulu, ia adalah buah fikiran Dr Mahmood yang juga merupakan Penasihat Yayasan Ortopedik”, kata Prof Tunku Sara. Kata beliau, Yayasan Ortopedik ditubuhkan pada tahun 2006 dengan objektifnya menggalakkan penyelidikan dan pembelajaran dalam bidang ortopedik. Yayasan itu menyediakan peruntukan awal untuk NOCERAL tetapi hanya dengan sokongan daripada UM, pusat itu akhirnya menjadi realiti, kata beliau. Pembiayaan awal daripada Yayasan Ortopedik berjumlah RM250,000. Angka itu kemudian melonjak kepada RM500,000. “Kami berterima kasih pada UM kerana menambah peruntukan itu kepada RM6.8 juta,” kata Prof Tunku Sara. BANK TULANG Sementara itu, Prof Tai berkata Bank Tulang Fakulti Perubatan UM, yang ditubuhkan pada awal-awal tahun 2000 memerlukan sebuah tempat yang sesuai untuk program pembesarannya. “Buat sementara ini, Bank Tulang mempunyai dua pembeku spesimen yang beroperasi pada -60 darjah Celsius, di Dewan Bedah PPUM yang dulunya dikenali sebagai Hospital Universiti,” kata Prof Tai. Beliau berkata spesimen tulang untuk Bank Tulang ialah daripada pembedahan penggantian tulang pinggul serta kadaver (tubuh yang telah mati.) “Kami memerlukan satu tempat untuk pembesaran Bank Tulang menjadi Bank Tisu dan juga tempat memproses spesimen tulang,” kata Prof Tunku Sara. BANGUNAN NOCERAL Bila siap, NOCERAL dijangka mempunyai makmal eksperimen bagi kerja-kerja makmal selain daripada makmal basah kadaver serta pusat latihan. “Bangunan itu juga akan mempunyai bengkel bio-mekanikal ortopedik dan makmal ujian mekanikal serta kemudahan untuk penyelidikan bio-produk,” jelas Prof Tunku Sara. NOCERAL juga akan mempunyai perpustakaan/kemudahan audio-visual serta dewan syarahan dan bilik seminar. “Akan terdapat juga bank tulang serta bank tisu selain daripada makmal bio-produk. Sekarang ini, kami menggunakan tempat kerja yang amat sempit untuk pembantu penyelidik dan kakitangan akademik. Bila siap nanti, NOCERAL dijangka dapat menyelesaikan masalah ini,” kata Prof Tai. PENYELIDIKAN Ketika ini, NOCERAL ditempatlan di Jabatan Ortopedik, Fakulti Perubatan UM. Antara penyelidikan yang sedang dijalankan ialah kajian terapi sel stem, penyiasatan serta pengeluaran peralatan bio-medikal dan peralatan rawatan serta pemulihan pesakit ortopedik selain daripada pembuatan produk penjagaan luka. “Program penyelidikan lain ialah, antara lainnya, pembaikan dalam teknik pembedahan dalam sub-sektor ortopedik seperti trauma, surgeri tangan dan mikro, pemanjangan lengan/kaki serta juga onkologi ortopedik”, kata Prof Tai. Menurut Prof Tunku Sara lagi, NOCERAL mempunyai institusi rakan penyelidik seperti Agensi Nuklear Malaysia, Monash University (Malaysia), National University of Singapore (NUS), Keele University, Hospital Queen Mary di University of London dan juga University of Liverpool. “Yayasan Ortopedik akan ditempatkan di NOCERAL bila pusat itu siap kelak,” kata Prof Tunku Sara. OBJEKTIF “Dalam erti kata yang mudah, NOCERAL mempunyai beberapa objektif termasuk pembaikan dalam kualiti serta penambahan kajian dalam pembedahan ortopedik,” kata Prof Tunku Sara. Objektif lain ialah penawaran kursus latihan dan pembelajaran dalam bidang itu. Prof Tunku Sara merupakan pensyarah di Fakulti Perubatan UM sejak 1989. Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Pembedahan Tangan Malaysia (MSSH) serta Presiden Persatuan Ortopedik Malaysia bagi tahun 2006-2007. Beliau merupakan Ketua Jabatan Ortopedik Fakulti Perubatan UM dari 2001 hingga 2008. — BERNAMA
Tinggalkan Komen »
Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries dan komen feeds.
Tinggalkan Jawapan