CONTOHI SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA

Mac 3, 2009 at 10:55 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

ARKIB : 23/01/2009
Contohi sistem pendidikan Malaysia

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 22 Jan. – Filipina dan Brunei berminat menjadikan kejayaan sistem pendidikan Malaysia sebagai rujukan bagi memperkasakan sistem tersebut di negara masing-masing.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara tersebut telah dinyatakan oleh Menteri Pelajaran kedua-dua negara dalam pertemuan berasingan beliau semasa melawat Filipina dan Brunei, baru-baru ini.

Sebagai permulaan, Kementerian Pelajaran Filipina akan menghantar sekumpulan penyelidik dan pakar bidang pendidikan ke Malaysia untuk mengkaji sistem pendidikan Islam di negara ini.

Brunei yang dalam proses melakukan reformasi dalam bidang itu pula mahu bekerjasama dalam pendidikan teknikal dan vokasional, Bahasa Melayu, kokurikulum, Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta perluasan sistem penilaian berasaskan sekolah.

”Kejayaan dalam bidang pendidikan Islam di Malaysia terutamanya usaha Malaysia membantu Thailand dan Afghanistan, mendorong Menteri Pelajaran Filipina, Datu Dr. Jesli A. Lapus, meletakkan pendidikan Islam sebagai keutamaan dalam jalinan kerjasama pada masa depan.

”Ini meliputi aspek pembangunan kurikulum pendidikan Islam yang menumpukan pembinaan nilai-nilai sejagat merentasi kaum serta membina jaringan di antara institusi-institusi pendidikan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Presiden Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEO) melakukan lawatan rasmi ke Filipina dan Brunei selama empat hari pada Ahad hingga Rabu lalu.

Jalinan kerjasama dalam bidang pendidikan Islam itu akan menjadi titik tolak kepada kerjasama secara rasmi melalui memorandum persefahaman kerjasama pendidikan kedua-dua negara tidak lama lagi.

Katanya, Menteri Pelajaran Brunei, Datuk Abdul Rahman Taib, menyatakan komitmen untuk memperbaharui kerjasama serta meneroka aspek-aspek baru dalam bidang pendidikan bagi manfaat bersama.

”Saya yakin pengukuhan kerjasama dalam bidang pendidikan dengan Brunei akan menjadi lebih mudah.

”Ini memandangkan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan (2007-2011) yang digariskan negara itu untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 mempunyai persamaan dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) negara, ini yang digariskan untuk mencapai Wawasan 2020,” katanya.

Hishammuddin berkata, beliau turut mengambil kesempatan mempelajari PPSMI yang dilaksanakan secara berperingkat di kedua-dua negara.

”Pengukuhan kerjasama antara Malaysia dengan Filipina dan Brunei akan dilihat dalam konteks lebih luas dalam memastikan sistem pendidikan negara diletakkan ditempat yang sepatutnya,” katanya.

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries dan komen feeds.