ILMU PENGETAHUAN : PEMBINAAN MASYARAKAT HADHARI
Februari 21, 2009 at 8:21 am | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komenPEMBINAAN MASYARAKAT HADHARI
Pendidikan yang sifatnya integratif adalah amat penting dalam membangunkan masyarakat hadhari. Pada asasnya manusia memerlukan dua bentuk ilmu untuk mengembangkan bakat dan keperluannya. Bentuk pertama ialah ilmu untuk mengurus diri dan bentuk kedua ilmu untuk mengurus sistem. Kalau kita perhatikan dalam sistem pendidikan kita terdapat pendekatan mengukuhkan ilmu-ilmu yang memberikan asas pengurusan diri dan kurang memberikan tumpuan terhadap ilmu-ilmu mengurus sistem. Sebaliknya semakin meluas (terutama di peringkat tinggi) pendidikan yang mengutama ilmu pengurusan sistem dan wujudnya pengabaian bagi pengukuhan ilmu mengurus diri. Dikotomi ini perlu diatasi supaya wujudnya integrasi antara dua keperluan asas ilmu bagi memungkinkan pembangunan holistik pelajar yang menepati keperluan membina tamadun atau pun mengisi cita-cita masyarakat hadhari. Ilmu untuk mengurus diri pada umumnya merujuk ilmu-ilmu fardhu ain dan ilmu mengurus sistem pada umumnya merujuk ilmu-ilmu fardhu kifayah.

"Pembangunan Modal Insan adalah amat penting bagi pembinaan Bangsa Malaysia yang bermartabat dan bermaruah"
Dalam konteks pendidikan dan latihan, ilmu yang integratif amat penting bagi membentuk peribadi yang holistik. Potensi insan yang merangkumi aspek akal, rohani dan jasmani memerlukan olahan dan penyuburan yang seimbang dan harmonis supaya bukan saja para pelajar mempunyai kekuatan berfikir tetapi juga mempunyai keteguhan rohaniah dan ketangkasan jasmaniah. Faktor-faktor ini diakui amat perlu bagi generasi muda menghadapi cabaran globalisasi dan tekanan persekitaran.
Meneliti dan melakukan refleksi dan kontemplasi terhadap keupayaan ilmuan Islam pada masa lalu membangunkan tamadun, upaya integratif telah menjadikan mereka unggul dan cemerlang. Jiwa tadabbur amat berkembang pada zaman mereka sehingga mampu mengharmonikan ulama dan umara’, ilmuan dan karyawan, ulama’ dan ilmuan walaupun terdapat perbedaan yang sifatnya memperkayakan khazanah tamadun. Barat dan Eropah umpamanya amat terhutang ilmu kepada tamadun Islam. Dengan melakukan refleksi terhadap kejayaan silam memungkinkan kita bersifat proaktif dan kreatif terhadap perubahan masakini. Ianya bergantung kepada keupayaan sistem pendidikan menjadikan pendekatan integratif dalam keilmuan dan ketrampilan berkembang subur. Bayangkan para pelajar yang tidak dapat meni’mati pendekatan integratif secara seimbang dan harmonis tidak akan mampu mengolah perubahan dan pembangunan berasaskan acuan kita sendiri iaitu acuan yang menemukan elemen-elemen hadhari untuk respon terhadap faktor-faktor perubahan terutamanya dari luar lingkungan budaya dan wilayah
pengaruh kita. Kita memerlukan seniman dan karyawan yang insaf tentang kepentingan citarasa hadhari dalam kreativiti supaya elemen-elemen deduktif tidak mengatasi keperluan komersial. Kita mahukan pengiklan yang menampilkan imej mendidik supaya faktor komersialnya diambil kira disamping memikirkan kesan iklan terhadap kanak-kanak dan juga pengguna.
Kita juga memerlukan pemikiran yang melihat teknologi selamanya alat bukannya metlamat. Metlamat penghasilan teknologi canggih bergantung kepada kualiti pengguna dan juga perisian yang dibangunkan. Pemikiran integratif akan mengambil kira keperluan alat dan kepentingan perisian supaya metlamat penggunaan dan pemenfaatan menyumbang ke arah membangunkan mertabat minda dan juga mengukuhkan peribadi. Asas-asas ini sekiranya dapat dilaksanakan dengan bijaksana dan terancang, ianya bakal mencetuskan kecenderungan ke arah pemikiran acuan kita sendiri.
MENCARI KEBIJAKSANAAN

Kerjasama dalam membangunkan modal insan perlu melibatkan semua pihak
Meski ada perbahasan atau polimik tentang Islam Hadhari anggaplah ia sebagai perbahasan semantik. Mendukung Islam Hadhari melibatkan faktor strategi, konsep dan juga aplikasi. Islam Hadhari tidak harus dilihat sebagai suatu alat sementara untuk maksud yang terbatas. Islam Hadhari harus dilihat dalam konteks jihad ilmu dan pendidikan yang berterusan. Ia menuntut konsep yang sifatnya mencakupi maksud ketamadunan dalam pembinaan masyarakat dan negara dan ianya menuntut perubahan gradual terhadap sistem.
Islamiphobia atau ketakutan terhadap Islam amat nyata di Barat akibat manipluasi media dan rejim yang berkepentingan terhadap Islam dan umatnya. Peristiwa 11 September 2001 di New York, Amerika Syarikat menjadi titik-tolak yang lebih agresif bagi Barat terhadap Islam dan umatnya. Liberalisasi budaya, agama dan gaya hidup manusia sedang berlaku dengan terancang khususnya dibawah agenda globalisasi. Kecanggihan sistem teknologi komunikasi dan telekomunikasi telah dan sedang digunakan untuk melumpuhkan ruh Islami di kalangan umat. Sesetengah umat Islam memilih jalan terakhir yang kelihatan amat radikal dan ini boleh memburukkan imej Islam di mata umat manusia khususnya di Barat.
Umat Islam harus memilih strategi yang betul berasaskan kekuatan ilmu yang integratif supaya kita terus berubah dan membangun tetapi berasaskan acuan kita sendiri Umat Islam harus menginsafi bahawa Allah SWT telah mengurniakan tiga perkara utama untuk keperluan pembangunan dan perubahan.
Pertama, sejak tamadun madani diasaskan di Madinah ianya dikembangkan oleh para sahabat, tabie-tabien, ulama dan umara yang memiliki iltizam tinggi sehingga terbentuk tamadun puncak (hadhara :Ibn Khaldun) dan sifat alamiah tamadun ini menepati maksud Deenul Islam dan amat menyumbang kepada tamadun umat manusia.
Kedua, Allah mengurniakan jumlah umat yang amat besar iaitu melepasi 1.3 bilion. Bayangkan reflektif kepada pencapaian silam dengan tekad membangunkan jihad ilmu dan pendidikan, ia bakal membangunkan sumber tenaga manusia yang memiliki keilmuan, kepakaran dan kebijaksanaan untuk memberikan perimbangan pengupayaan yang selama ini meletakkan kita sebagai umat pengguna dan penciplak kepada tamadun Barat.
Ketiga, Allah kurniakan di perut bumi di negara umat Islam dengan sumber-sumber hasil bumi yang kaya. Bayangkan sekiranya refleksi terhadap cita-cita hadhari itu tinggi, sumber-sumber ini akan dapat diuruskan dengan bijaksana supaya menafaatnya dapat membangunkan umat Islam dan juga mensejahterakan umat manusia
Secara strategik pemikiran ke arah cita-cita hadhari harus ada pada setiap warga kita supaya faktor perubahan dan kemajuan yang amat mencabar kini tidak hanya ditentukan oleh faktor globalisasi semata-mata. Pendekatan integratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan adalah jawapan yang mampu memberikan perimbangan ke arah menghasilkan acuan kita sendiri. Hanya keyakinan yang teguh, iltizam yang tinggi, kejujuran yang jelas, kebijaksanaan yang istiqamah sifatnya menjadi jalan yang amat terbuka bagi Malaysia membangunkan masyarakatnya yang hadhari.
Islam ialah Islam. Islam tidak datang dalam kekosongan. Wahyu diturunkan oleh Allah SWT merujuk kepada pembangunan rijal atau manusia. Nabi dan rasul silih pergi dan datang. Zaman silih berganti tetapi Islam tetap juga Islam. Pada al Quran terkandung prinsip dan pedoman yang harus diikuti. Pada sunnah Rasul terdapat contoh untuk dijadikan sumber teladanan. Suatu ketika dulu umat Islam pernah membangunkan tamadun. Kemampuan mereka membangunkan tamadun setelah memenuhi syarat keilmuan, kepimpinan, kekuatan rohaniah, melakukan integrasi ilmu Mengurus Diri dan Ilmu Mengurus Sistem, jihad dan dakwah yang tinggi.
Hari ini umat Islam adalah umat pengguna terhadap tamadun Barat. Umat Islam menjadi umat pinggiran dan mengamalkan ritual tanpa substance (ilmu). Akibatnya proses globalisasi melakukan penjajahan minda dan hati. Oleh itu umat perlu diperkasa semula.
Faktor pembangunan rohaniah harus bergerak dengan kekuatan ilmu yang pelbagai dan keupayaan metodologi yang sezaman. Di sinilah pentingnya maqasid syariyyah diperkasakan secara holistik di mana asas agama, perkembangan akal, memelihara keturunan dan jatidiri dijadikan maslahah perjuangan supaya prinsip keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, pengurusan negara yang adil dan beramanah, menyuburkan jiwa rakyat yang merdeka, menguasai ilmu pengetahuan, membangunkan ekonomi yang seimbang dan komprehensif, menyuburkan kehidupan yang berkualiti, melakukan pembelaan terhadap kumpulan minoriti dan wanita, pemeliharaan alam tabie dan memperkasa kekuatan pertahanan dalam maksud yang luas menjadi pra-syarat utama mencetuskan pembangunan yang beracuan sendiri menerusi proses menghadharikan umat supaya Islam dan pemeluknya berada dalam tahap mampu berasing, mampu membangun dan mampu berjuang secara jangka panjangnya untuk kesejahteraan umat dan umat manusia.
Blog di WordPress.com.
Entries dan komen feeds.